Tuesday, 19 November 2019

BERNIAGA TAK BOLEH SENSITIF


“Kak...berapa harga jubah kaftan tu?” tanya seorang daripada lima wanita yang sedang berdiri di depan meja booth tempat saya menjual batik…kelihatan ada di antara mereka yang berbisik.
“Lima puluh…,” belum sempat saya habis menjawab, wanita itu terus menyampuk, “Empat puluh ringgit jerrrrr…,” katanya sambil sedikit mencebik dan dengan nada sinis.

“Maaf dik, Akak tak mampu jual pada harga tu, tak lepas pelbagai kos dan modal pun,” saya cuba membalas reaksi mereka dengan tenang. Mereka ketawa dan berlalu.
Hati sedikit terguris dengan reaksi mereka. Mungkin kerana kami saling mengenali, mungkin juga saya belum biasa dengan dugaan sebegitu kerana saya baru sahaja berniaga sepenuh masa, atau mungkin juga saya terlalu sensitif.
Pada masa sama, saya sangat bertuah dan bersyukur kerana ada beberapa sahabat yang sangat menyokong ‘dunia’ baharu saya.
Ada yang beli pakaian batik, ada yang selalu beli kuih-muih dan makanan yang saya jual. Ada antara mereka membeli bukan sahaja sehelai, malah berhelai-helai. Bukan sedikit makanan malah banyak - untuk ‘berkenduri’ dengan rakan-rakan sepejabat.
Bukan saja membeli sekali malah berkali-kali -- yang secara tidak langsung membantu memasarkan produk saya.
Kebanyakan mereka tidak putus-putus memberikan semangat agar saya tabah dan tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan perniagaan.
Saya juga sangat menghargai sahabat-sahabat yang sentiasa menyemarakkan semangat dan mempunyai keyakinan bahawa, “Sari, kau mampu, kau boleh”… walaupun mereka tidak pernah membeli apa-apa dari saya. Saya tak kecil hati sedikit pun.
Malah, ada kalangan penjual batik lukis dalam talian yang menjadi sahabat baharu saya – memberikan semangat serta banyak panduan dan nasihat mengenai batik lukis.
“Bila berniaga, tak boleh sensitif!” tegas seorang sahabat.
Terima kasih sahabat semua.
Berbalik kepada kisah batik, ada rakan-rakan, kenalan dan saudara-mara yang bertanyakan “Kenapa batik, kenapa tidak tumpukan pada makanan?”…jawapannya bukan sahaja  agak panjang lebar malah saya mungkin agak emosi bila menjelaskannya.
Jadi ringkasnya, “Saya mahu lihat orang ramai pakai batik lukis tempatan, bukan batik import. Bukan fabrik yang menyerupai batik atau lebih tepat ‘batik tiruan’ keluaran kilang milik pengeluar ternama. Saya akan terus memasak, menjual kuih-muih dan makanan seperti biasa, InsyaAllah.”

Memang, setiap orang punya hak memilih pakaian sendiri. Itu saya faham.
Cuma yang sukar saya fahami adalah alasan yang diberikan – tidak beli batik lukis tempatan sebab mahal, harga beratus-ratus ringgit.
Atas alasan itu juga, ramai orang tidak yakin untuk berniaga batik lukis tempatan. Jika ada sekalipun, kebanyakannya memang sejak lama berniaga batik.
Malah ramai juga pekerja di kedai batik yang memberitahu bahawa sukar menjual produk batik lukis tempatan. Malangnya, pelanggan juga mempunyai tanggapan serupa.
Seperti yang pernah saya sebut sebelum ini, saya pernah diajukan soalan,“Tak susah kah nak jual batik lukis. Batik mahal dan niche sangat?”
Hakikatnya...memang susah nak jual apa pun...jika kita fikir ia susah.
Batik lukis sangat mahal? Tak lah!
Kalau beli yang sutera...memanglah harga agak tinggi ...nama pun sutera. Takkan nak pakai sutera setiap hari!
Sekarang ni ada banyak batik daripada kain kapas (cotton)- yang pelbagai kualiti di pasaran. Harganya semua mampu bayar!
Jika anda mampu membeli blouse berharga dalam lingkungan RM100 hingga RM200, maka anda pasti mampu membeli sepasang pakaian daripada batik lukis.  Begitu juga kemeja batik lukis lelaki dan pakaian kanak-kanak.
Terpulang nak yang mana, motif apa, kualiti dan berapa bajet!
Bila kita cakap pasal kualiti, bukan sekadar kualiti kain tu cotton viscose, cotton span, fuji, sutera atau satin...
Lihat juga kualiti corak...ada yg nampak coraknya macam straight forward, ada yang nampak berlapis-lapis, corak kaku, corak penuh, naif, tradisional, abstrak dan seumpamanya.
Ada yang coraknya kelihatan halus berseni, ada juga yang bagaikan contengan manakala ada yang macam lukisan budak sekolah.
Hakikatnya, nothing can go wrong with batik...
Tepuk dada tanya selera, bukan makan jer ada pelbagai selera...
Ada yang suka seni, ada yang suka contengan, ada yang suka abstrak...
Ada yang suka corak sedikit, ada yang suka corak penuh dan macam-macam selera kita.
Jadi, usah nak banding orang tu jual batik ‘serupa’, lebih murah atau lebih mahal...
Tengok semua aspek tu...dan nilai sendiri
Itu belum dilihat jahitannya. Kemas atau sebaliknya?
Hakikatnya bukan sahaja fabrik membuat batik terdiri pelbagai kualiti dan kategori, pelukis batik juga terdiri daripada pelbagai kategori, begitu juga tukang jahit…

Jadi...jom beli batik lukis tempatan
Jom pakai batik lukis Malaysia setiap hari



Saturday, 2 November 2019

Aku, Batik & Menulis


Teringat hari-hari akhir di pejabat. Kontrak saya akan tamat tidak lama lagi.
Memang sedih. Bukan sahaja sedih untuk meninggalkan dunia kewartawanan yang sudah sebati dengan hidup ini, malah sedih untuk berpisah dengan rakan-rakan yang sudah bagaikan keluarga sendiri.
Saya tahu langkah seterusnya. Yang pasti, tidak boleh terus mengharapkan kerja-kerja freelance bidang penulisan. Saya yakin rezeki ada di mana sahaja. Rezeki itu daripada Allah. Cuma…perlu ikhtiar, usaha dan tawakkal.
Maka, saya membuat persediaan untuk berniaga.
Berniaga apa? Itu bukan masalah. Berniaga batik, kraf tradisional & makanan tradisional.
Mudah membuat keputusan. Bagaimana?
Pada saat-saat memikirkan masa depan, saya sentiasa teringatkan pakar ekonomi tersohor yang juga bekas presiden Bursa Malaysia, Datuk Salleh Majid (Allahyarham).
Ketika hayatnya lagi, beliau selalu menyuruh aku berhenti kerja. “Sudahlah, lepaskan jawatan tu. Buka bisnes. Buat bisnes produk yang kau suka. Sambil tu, kau masih boleh menulis.”
Kata-katanya itu sentiasa menerjah fikiran, apatah lagi ketika ini…di mana saya sudah mula berniaga kecil-kecilan. Beliau malah, mahu menghantar saya menimba ilmu, menyediakan modal dan membantu pelbagai aspek jika saya mahu berniaga.
Namun, kecintaan terhadap dunia kewartawanan ketika itu mungkin membuatkan saya memandang ringan akan saranan beliau. 
Kini, ada kalanya saya tertanya diri sendiri, apakah sudah terlewat untuk mula berniaga?  Malah, ada kalanya terfikir, mungkin saya patut mendengar nasihat arwah sejak dulu. Beginilah, lambat laun, saya perlu berpaling dari ‘dunia’ lampau.
Ya, seperti katanya, pilih produk yang aku minat. 
Batik- mudah untuk saya membuat keputusan untuk produk utama. 

Kenapa? Memang saya suka batik. Dalam tahun-tahun 1980an sehingga awal 2000, pakaian utama saya adalah batik. Namun apabila usia meningkat, saiz pakaian sudah bertukar kepada yang lebih besar, sementelah saya juga sudah bertukar cara berfesyen, maka kesemua kebaya batik bukan sahaja tidak sesuai lagi malah tidak muat untuk dipakai. Maka saya berikan kepada rakan-rakan dan sanak-saudara yang lebih muda.
Sejak itu, agak sukar menggantikan fesyen batik memandangkan ketika itu saya bekerja sendiri dan harga batik bukanlah calang-calang. Apatah lagi industri batik ketika itu pula agak suram
Berbual dengan pengeluar batik baru-baru ini, mereka mengakui bahawa permintaan terhadap batik sudah semakin meningkat. Kata mereka, saranan kerajaan supaya kakitangan awam memakai batik pada hari Khamis- turut menyumbang kepada perkembangan itu. Alhamdulillah.
Kini, sudah terdapat batik dan pakaian batik yang diperbuat daripada kain kapas yang pelbagai. Maka, harganya tidaklah semahal dahulu. Malah, boleh dikatakan murah. Bayangkan, kini kita boleh membeli dua atau tiga helai helai jubah batik yang diperbuat daripada fabrik cotton viscose (sejenis kain kapas) dengan harga yang sama dengan sehelai jubah batik crepe. Begitu juga kain pasang.
Sayalah antara manusia yang paling gembira dengan perkembangan ini.
Namun, kebelakangan ini, nampaknya rakyat Malaysia lebih cenderung membeli dan memakai batik dari negara lain.
Alasannya, batik ‘kita’ mahal!

Hakikatnya, itu hanya tanggapan mereka. Walhal mereka mungkin telah lama tidak membelek harga batik tempatan- batik Malaysia yang banyak dikeluarkan di Kelantan, Terenggau dan beberapa negeri lain. Atau, mungkin juga mereka tidak tahu pun bahawa kini ‘kita’ ada batik yang lebih mampu beli.
Jadi, batik bagi saya bukan sekadar untuk mencari rezeki…lebih daripada itu…saya ingin melihat lebih ramai rakyat Malaysia memakai batik tempatan. Bukan sekadar untuk majlis atau hari tertentu.
Lihatlah betapa cantiknya hasil seni rakyat negara ini.  Batik juga seni. Batik memerlukan kreativiti.
Jangan dibiarkan batik sarung hanya untuk basahan dan pakaian batik hanya untuk tujuan tertentu.
Jadikan batik Malaysia sebagai pakaian harian, pelbagaikan fesyen daripada kain batik.
Keinginan hati saya terlalu mendalam untuk melihat rakyat Malaysia memartabatkan batik serta pelbagai kraf dan produk tempatan umpamanya bahan anyaman, ukiran, permainan dan makanan tradisional serta seumpamanya.
Sudah-sudahlah…Marilah kita bersama-sama memartabatkan batik tempatan- batik Malaysia.
SUKAR untuk meluahkan harapan ini dengan lebih jelas.

Barangan anyaman semakin sukar diperolehi. “Generasi muda tidak berminat malah jika ada yang berminat sekalipun sumber semulajadi kita hampir pupus -umpamanya mengkuang, rotan dan pandan,” – begitu penjelasan para pembekal produk anyaman.
Maka, mereka terpaksa mendapatkan produk-produk daripada negara-negara jiran. Mudah sahaja bekalan mudah diperolehi, malah jauh lebih murah.
Jika begitu keadaan mereka, bagaimana saya mahu mendapatkan produk-produk seumpama itu – tikar, bakul, beg & perhiasan rumah? Maka, terpaksa tepuk dada tanya selera…ambil yang tempatan jika ada bekalan, jika sebaliknya…masakan hendak menongkah arus.

Makanan termasuk kuih-muih dan kudap-kudapan tradisional seperti serunding Kelantan, peria rangup, keropok amplang Tawau, Sabah, kuih cincin Papar, Sabah, kek lapis Sarawak dan karipap mini ikan Terengganu…juga antara produk saya. Tidak, saya tidak menyediakan kesemuanya. Biarlah mereka yang pakar menyediakan bekalan untuk saya.

Cukuplah kisah peralihan hidup saya…Saya bukan wartawan tetapi saya penulis…dan akan terus menulis.
InsyaAllah, akan saya kongsikan cabaran-cabaran awal berniaga, dan seterusnya.

Tun Omar (Arwah) Pernah Berkisah

“Mentega! Mentega! Mentega!” penulis tersenyum mengenangkan cerita oleh Tun Omar Ong Yoke Lin (Allahyarham) mengenai sekumpulan rakyat Malaysia yang bersemangat menyambut kemerdekaan di Stadium Merdeka pada 31 Ogos, 1957.
Tun Omar Ong sempena bulan Kemerdekaan

“Bukan begitu. Bukan ‘Mentega’. Sebut begini, ‘Mer-de-ka…,” sambung beliau cuba membetulkan sebutan mereka.
Kisahnya, mereka adalah kumpulan peniaga berbangsa Cina yang tidak fasih berbahasa Melayu (bukanlah sesuatu yang janggal ketika itu), namun sangat teruja menyambut laungan “Merdeka” sebanyak 7 kali oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj(Almarhum) ketika mengisytiharkan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Walaupun perbualan itu sudah hampir 20 tahun berlalu, namun celotehnya masih segar dalam ingatan penulis. Saban tahun, apabila menjelang Hari Kebangsaan, pastinya penulis akan terkenangkan Allahyarham Tun Omar Ong Yoke Ling.
Siapakah Omar Ong Yoke Lin? Tidak menghairankan sekiranya kalangan generasi sekarang tidak mengenali beliau. Tun Omar dilahirkan pada 23 Julai,1917 dan meninggal dunia pada 1 Julai, 2010.
Beliau adalah seorang daripada pengasas MCA, orang yang pertama membawa masuk alat penyaman udara ke Tanah Melayu, seorang ahli perniagaan, anggota politik, pejuang kemerdekaan dan diplomat. Beliau pernah memegang pelbagai portfolio dalam kabinet sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman.
Berpeluang mengenali beliau pada usianya menjangkau 82 tahun ketika itu, penulis amat kagum dengan daya ingatannya yang mampu mengingati setiap detik yang dilalui. Banyak diceritakan kisah-kisah silam terutamanya ‘jalan’ menuju kemerdekaan. Ada yang penuh pengajaran, sedih, gembira dan ada pula yang mencuit hati.
Boleh dikatakan kemerdekaan negara ini tidak sukar diperoleh, tidak berlaku peperangan mahupun pertumpahan darah, walaupun pelbagai peristiwa suka duka dilalui demi membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah, demikian menurut beliau kepada penulis,
Dengan suara yang sebak, Tun Omar mengakui tidak dapat menahan air mata semasa Tunku Abdul Rahman pertama kali mengisytiharkan kemerdekaan. Sejak itu, setiap 31 Ogos, begitulah keadaan beliau kerana perasaan itu sentiasa segar di dalam jiwanya.
Detik menjadi hamba British, hamba Jepun
Penulis masih mengingati perbualan dengan Tun Omar, “Banyak yang saya lalui. Setahun pun tak habis cerita. Ringkasnya, British menyusahkan kita. Saya pernah sorokkan bijih timah kerana mereka letakkan harga terlalu murah, saya menjualnya bila habis musim British membeli. Masa jadi menteri, saya pernah ‘culik’ seorang rakan yang juga menteri dan membawanya melihat Hospital Besar Kuala Lumpur yang uzur, sebagai usaha mendapatkan peruntukan. Ya, saya dapat. Saya pernah kena tempeleng dengan tentera Jepun dan banyak lagi,”
Zaman Jepun pun teruk, katanya. Walaupun tentera Jepun bermaharajalela dan kejam, beliau mengakui mendapat banyak pengajaran yang mendewasakan dirinya.
Bayangkanlah betapa orang ramai sangat takut jika terserempak tentera Jepun, mereka lari bertempiaran atau segera bersembunyi dalam parit.
Sama ada sedang berjalan, berbasikal atau berkereta, orang ramai perlu berhenti, turun dari kenderaan dan tunduk 90 darjah di hadapan tentera Jepun sebelum meneruskan perjalanan.
Suatu hari Tun Omar sedang berbasikal sambil berangan-angan, tanpa disedari beliau melintasi pondok kawalan tentera Jepun tanpa berhenti mengayuh basikal.
Tentera Jepun menengking sehinggakan beliau terkejut dan terjatuh basikal. Tentera itu meluru ke arahnya lantas menempelengnya beberapa kali sambil memaki hamun.
“Saya amat marah dan berikrar di dalam hati untuk balas dendam. Saya akan tampar sekuat mungkin setiap tentera Jepun di seluruh negara apabila mereka ditewaskan oleh British,” katanya tersenyum.
Tunku, seorang gentleman
Menceritakan hal Tunku Abdul Rahman, nyata Tun Omar sangat menghormati dan memujinya. Beliau bercerita kisah-kisah perjalanan Tunku Abdul Rahman sebelum dan selepas merdeka.
“Tunku benar-benar gentleman. Kelengkapan pejabatnya ala kadar, banglonya usang. Tidak sesuai jika dibandingkan tarafnya sebagai ketua sebuah parti terbesar di Malaya.
“Ketika di London, kerana tidak ada duit, Tunku bukan sahaja tinggal di hotel murah, malah berkongsi bilik. Tunku tidak dapat tidur kerana rakannya kuat berdengkur. Esoknya, Tunku buat perjanjian, meminta rakannya supaya tidak tidur sehingga Tunku tidur dahulu. Tapi perkara serupa berulang,” nyata beliau terhibur bercerita masa lampau. Sesekali beliau merenung jauh, seakan-akan mengenangkan sesuatu sebelum menyambung kisahnya.
Sebagai antara pengasas MCA (1952), Tun Omar menjadi Ketua MCA Selangor dan kemudiannya Naib Presiden MCA.
Allahyarham bukan sahaja antara perintis ke arah pembentukan Perikatan MCA-Umno malah merupakan salah seorang pemimpin utama yang memainkan peranan penting dalam arena politik negara sebelum dan selepas kemerdekaan malah antara anggota kabinet pertama negara di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman.
Jasa Tun Omar kepada negara
Tun Omar juga adalah seorang daripada 4 anggota parti Perikatan yang menggubal Perlembagaan Tanah Melayu di London pada April 1957. Beliau juga antara orang yang menandatangani perjanjian penubuhan Malaysia di London pada 1963.
Selepas penubuhan Malaysia, Tun Omar berkhidmat pula sebagai Menteri Tidak Berportfolio sehingga 1972, juga menjadi Wakil Tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Beliau pernah menjadi Menteri Pos dan Telekomunikasi, Menteri Pengangkutan, Menteri Buruh & Kebajikan Sosial dan Menteri Kesihatan ketika hayatnya. Akhirnya, beliau dilantik sebagai Presiden Dewan Negara – sehingga bersara pada tahun 1980.
Lihatlah betapa banyaknya jasa Allahyarham Tun Omar Ong Yoke Lin. Keakraban Allahyarham Tun Omar dan Almarhum Tunku Abdul Rahman memang diketahui umum.
Tun Omar menunjukkan coretan Tuanku Abdul Rahman bertarikh 19 Mei, 1977 di muka awal bukunya bertajuk Looking Back:
“Kepada Omar Yoke Lin, rakan seperjuangan yang melahirkan Perikatan Melayu-Cina untuk mencapai Kemerdekaan dan kini menjadi saudara seIslam. Jika lebih ramai dapat menteladani beliau, tanah air milik kita ini akan menjadi aman dan makmur selama-lamanya. Insya-Allah.”
Coretan Tunku pada sebuah lagi bukunya bertajuk Something to Remember pula:
“Omar Yoke Lin, selagi jantung saya masih berdegup, saya akan terus mengingati saudara sebagai antara teman saya yang paling rapat, sahabat seperjuangan dan saudara seIslam.”
Jasa Allahyarham Tun Omar Ong Yoke Lin dan rakan seangkatannya akan terus diingati. Keperibadiannya yang sangat sopan dan lembut tutur kata sering menjadi buah mulut sesiapa sahaja yang mengenalinya. Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

Thursday, 8 August 2019

KENANGAN MEMBESAR DI KEPALA BATAS


Setiap kali tibanya musim perayaan sama ada Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas malah Hari kebangsaan, saya pasti teringatkan waktu zaman kanak-kanak. Terbayang wajah sahabat ayah antaranya Tauke Bak Haw, Tauke Seng Huat dan Tauke Weng Weng, juga rakan-rakan emak seperti Makcik Ang Ngau dan Nyonya Tam.

Barangan dapur kami dibeli dari kedai Tauke Bak Haw, keperluan sekolah dari kedai Seng Huat dan perabut pula dari kedai Weng-Weng.
Kenangan sering menerjah dengan wajah-wajah Tande Maniam (Mandor estet), Makcik Azee dan Makcik Shadow (dua wanita berbangsa India masing-masing beragama Hindu dan Kristian), juga Makcik Chombi, Kak Rosnah dan lain-lain – kesemuanya menoreh bersama-sama emak.
Ketika Tahun Baru Cina, emak dan ayah akan membawa balik kuih bakul, kuih bangkit, bepang, kuaci, kacang serta limau mandarin.
Apabila sambutan Deepavali pula, rakan-rakan sekerja emak akan memberikan pelbagai manisan dan kuih-muih tradisional India seperti urundai, jillebhi dan ladhu.
Tiba pula Hari Raya, emak pasti sibuk membungkus pelbagai jenis kuih untuk diberikan kepada rakan-rakannya. Begitu juga yang sama-sama menyambut Hari Raya, meriahlah pula bertukar-tukar juadah.
Mengimbau masa lalu, emak dan rakan-rakannya selalu makan bersama ketika waktu rehat pada hari kerja (menoreh). Setiap hari, kira-kira pada pukul 10 pagi, kelihatan emak dan sahabat-sahabatnya itu duduk menikmati bekalan masing-masing sambil bercerita. Sesekali riuh tawa mereka memecah keheningan ladang getah yang luas itu.
Memulakan kerja pada pukul 5 pagi, emak dan sahabat-sahabatnya biasanya habis menoreh kira-kira 500 batang pokok getah menjelang 10 pagi, Mereka lalu berehat sebentar sementara menantikan susu getah memenuhi cawannya.
Selesai makan, mereka akan berjalan sekitar kawasan masing-masing sambil membersihkan laluan atau merawat pokok getah.
Itulah rutin harian emak, dan rakan-rakannya. Ada kalanya mandor ladang, Tande Maniam yang meronda ladang akan singgah berbual dengan mereka.
Mereka adalah antara ratusan penoreh getah di Ladang Bertam yang luasnya ribuan hektar di Seberang Perai Utara.
Di ladang itulah penulis ‘belajar’ makan tose, capati, wade dan kuih-muih yang dihidangkan ketika Deepavali.
Persahabatan mereka bukan sekadar waktu kerja. Ada kalanya mereka singgah di rumah mana-mana rakan apabila hujung minggu atau kebetulan berada di kawasan berkenaan. Saling menjenguk jika ada yang kurang sihat.
Ayah juga penoreh getah. Tapi ayah menoreh di sebuah ladang kecil milik tauke Bak Haw, yang juga pemilik kedai runcit di pekan Kepala Batas. Barangan keperluan dapur dibeli dari kedai itu.
Ayah punya ramai kenalan berbangsa India dan Cina, malah memahami dan boleh bertutur ayat-ayat mudah Tamil dan Hokkien. Jadi tidak hairanlah jika ayah punyai ramai kenalan kaum Cina dan India di pekan kecil itu yang tidak jauh dari kampung kami.
Di kampung pula, peniaga kain yang kami panggil Apek Kelentong akan datang bertemu pelanggannya setiap bulan, dan lebih kerap ketika musim menuai padi. (Kelentong adalah alat seperti gendang kecil pada satu kayu yang digunakan untuk menjaja, bukan maksudnya bohong atau menipu). Ramai pelanggannya membayar barangan yang dibeli secara ansuran.
Malah rumah nenek yang terletak di pinggir pekan pula di kelilingi pelbagai masyarakat. Selain Melayu, jiran-jirannya terdiri daripada keluarga berbangsa Cina, India dan Siam.
Teringat, setiap kali pergi bermalam di rumah nenek, dia akan sibuk ke kedai runcit berhampiran membeli keperluan dapur antara lain Horlicks, ikan kering, biskut biji asam dan semestinya ‘coklat duit’ serta coklat mini van houten (pembalut pelbagai warna).


Semua itu hanya tinggal kenangan, emak dan ayah sudah tiada lagi dan ada ramai sahabat mereka juga sudah meninggal dunia. Selainnya juga putus hubungan tanpa sedar. Waktu bersama-sama sahabat emak dan ayah kini tinggal kenangan. 
Saya juga punya sahabat yang berbilang bangsa. Di sekolah rendah, antara beberapa orang sahabat yang paling rapat adalah Ah Rin, berketurunan Siam.
Ketika di sekolah menengah, sahabat karib saya, Selena, berbangsa Cina. Jadi keraplah saya bermalam di rumah Selena. Kampungnya berjiran dengan kampung Melayu dan Selena dipanggil dengan nama Fatimah, oleh kawan-kawan Melayu di kampung sebelah. Malah abang-abangnya juga memanggilnya Fatimah.
Merujuk atau memanggil seseorang sebagai budak Melayu, India, Cina atau Siam bukanlah sesuatu yang janggal. Bukan juga satu kesalahan. Ia sesuatu yang dianggap biasa, masing-masing bangga dengan bangsa sendiri.
Masuk alam pekerjaan, sama juga. Rakan-rakan terdiri daripada berbilang kaum. Sehinggalah berpuluh tahun bekerja, suasananya sama. Tidak ada garis pemisah antara kami sama ada berketurunan Melayu, Cina, India, Serani mahupun etnik lain.
Baik Tahun Baharu Cina, Hari Raya, Deepavali atau Krismas, ada sahaja yang membawa buah tangan, kuih muih dan sebagainya.
Keluarga suami saya juga ‘cacamarba’. Ada yang beragama Islam, Kristian dan Hindu.
Berbual dengan rakan sekerja, kami sering bercerita pelbagai kisah rakan yang berbilang bangsa dan agama sejak zaman persekolahan sehingga dewasa.
Memang sukar membayangkan kehidupan ini tanpa kepelbagaian itu yang sejak sekian lama menjadi penyeri kehidupan ini.
Kini Kepala Batas sudah berbeza. Walaupun masih ada deretan kedai-kedai lama, pembangunan sudah merubah wajah pekan ‘cowboy’ itu. Malah wujud pula bandar baharu Bertam. Kawasan Ladang Bertam yang kini sudah tidak ada lagi getah mahupun kelapa sawit malah dibangunkan dengan kawasan perumahan, pusat bandar serta pelbagai institusi pengajian.  Kini sudah ada Mc Donalds, Mydin, Tesco dan banyak lagi.

Saya tidak kesal melihat pembangunan, walaupun sudah kerap berlaku kesesakan lalu lintas. Cuma merindui masa lampau yang lebih santai…
Oh ya, sehingga kini, saya masih membeli perabut dari kedai Weng Weng. Namun kedai runcit Bak Haw dan kedai peralatan sekolah Seng Huat sudah tidak dapat dikesan.
Apa pun, banglo putih hitam yang menjadi tempat tinggal 'Tuan' estet masih gah di tapaknya.




Friday, 12 April 2019

AWAT LEPAK SAMPAI LEWAT MALAM?



Sejak larangan merokok dikuatkuasakan pada Jan lalu, macam-macam kerenah perokok yang dapat kita lihat setiap hari, terutamanya di gerai-gerai serta restoran-restoran.
Rungutan juga tidak habis-habis kita dengar sama ada daripada golongan tidak merokok mahupun kalangan perokok, walaupun sudah kira-kira empat bulan larangan itu berkuat kuasa.

Baru-baru ini, ketika ke restoran mamak berdekatan rumah, saya dapati ramai remaja melepak di restoran itu sedangkan jam sudah menunjukkan lebih 12 tengah malam.
Ya, mereka masih berada di luar rumah masing-masing sehingga lewat malam/awal pagi sedangkan jika dilihat wajah masing-masing, mereka itu masih dalam belasan tahun dan masih bersekolah.
Lebih menjengkelkan apabila melihat hampir kesemua remaja itu merokok.
“Larangan merokok sudah dikuatkuasakan 1 Jan lepas, perintah berkurung remaja bila lagi?
“Ada larangan merokok pun macam tak ada bezanya... pihak restoran meletak meja di luar untuk mereka melepak. Itu pun tak sampai tiga meter dari kaki lima restoran,” kata saya melepaskan geram. 
Boleh dikatakan setiap malam, begitu ramai remaja melepak di restoran itu. Begitu juag beberapa restoran lain yang berdekatan. Bayangkanlah, jika purata 15 remaja berada di setiap restoran itu, jumlahnya hampir 100 orang.
Hati tertanya-tanya, apakah ibu bapa mereka tidak peduli akan keberadaan anak-anak mereka?  Sambil menunggu teh tarik dan roti canai yang dipesan, saya memerhatikan gelagat kumpulan remaja di situ.
Masing-masing khusyuk dengan telefon bimbit, jarang sekali mereka berbual. Sesekali kedengaran ada antara remaja itu tiba-tiba menyumpah seranah, malah mencarut - hati berdetak, mungkin kalah permainan dalam talian.
Di hadapan mereka pula terdapat minuman dalam plastik yang diikat tepi dan diletakkan di dalam mangkuk.
Sebenarnya, sudah lama saya melihat minuman dihidang sebegitu namun baru malam itu berkesempatan bertanya pada pekerja restoran. 
“Budak-budak beli bungkus, beza 20 atau 30 sen saja, air dalam plastik lebih banyak dari gelas. Order satu bungkus, lepak satu malam,” kata pekerja restoran itu.   
Setap kali melewati kawasan pusat bandar itu, saya pasti akan melihat setiap restoran di situ. Nyata, kumpulan pelanggan di restoran-restoran itu berbeza pada waktu-waktu tertentu.
Ramai yang berkeluarga, golongan belia dan ‘pak cik-pak cik’ mengunjungi restoran-restoran itu di antara pukul 8 hingga 11 malam.
Semakin lewat malam, ‘geng’ remaja mula mengisi kerusi-kerusi di restoran-restoran itu. Lebih ramai yang berbuat demikian pada hujung minggu.
Tidakkah mereka bersekolah keesokannya? Tidakkah ibu bapa remaja itu memarahi mereka bila balik ke rumah nanti? Banyak persoalan yang menerjah fikiran saya.

Teringat ketika zaman remaja, saya dan adik-adik dididik supaya pulang ke rumah pada waktu makan dan waktu solat.
Jika keluar bermain pada waktu pagi, kami mesti balik ke rumah sebelum tengah hari. Jika keluar selepas waktu Asar, mesti pulang sebelum waktu Maghrib. Kami tidak dibenarkan keluar pada waktu malam.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa zaman mendidik sebegitu sudah berlalu kerana masa dan keadaan sudah berubah. Jadi, bagaimanakah cara mendidik anak yang sewajarnya yang sesuai dengan masa kini? Apakah dengan membiarkan mereka berpeleseran dan melepak sehingga awal pagi?
Tidak lama dulu heboh tentang cadangan supaya perintah berkurung dilaksanakan pada waktu malam bagi remaja bawah umur.
Banyak pihak berkongsi pendapat mengenai cadangan itu. Ada yang menyokong, ada juga sebaliknya.
Di media sosial, kebanyakan netizen bersetuju dengan cadangan itu. Malah, pungutan suara akaun The Reporter laman Facebook pada 17 Jan lepas mendapati sebanyak 97 peratus bersetuju supaya perintah berkurung untuk remaja di bawah 18 tahun selepas jam 12 malam dilaksanakan manakala hanya 3 peratus yang tidak bersetuju.
Hakikatnya, cadangan itu bukanlah perkara baharu malah pernah disebut susulan kemalangan di Johor Bahru pada 3 pagi pada Februari tahun lepas apabila sebuah kereta merempuh sekumpulan 16 remaja yang sedang berbasikal menyebabkan lapan daripada mereka maut.
Malah, beberapa persatuan ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan turut mencadangkannya sejak beberapa tahun lalu.
Sehingga kini, persoalan berkaitan perintah berkurung itu umpama ‘tenggelam timbul’ tanpa sebarang kata putus.
Hakikatnya, tujuh negara iaitu Amerika Syarikat, Australia, Thailand, Jerman, Britain, Iceland dan United Kingdom sudah menjadikan perintah berkurung ke atas remaja dan kanak-kanak sebahagian daripada peruntukan undang-undang negara masing-masing. Iceland mendahului senarai remaja paling berkelakuan baik di Eropah.
Kebanyakan negara itu menetapkan perintah berkurung melibatkan remaja berusia 16 tahun ke bawah tidak dibenarkan keluar rumah melebihi jam 10 malam manakala remaja bawah 18 tahun pula dilarang keluar melebihi 12 malam.
Akta Perlindungan Kanak-kanak Iceland 2002 memperuntukkan kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah tidak boleh berada di luar rumah selepas 8 malam melainkan ditemani orang dewasa.
Remaja berusia 13 hingga 16 tahun pula tidak boleh berada di luar rumah selepas 10 malam melainkan mereka dalam perjalanan pulang daripada program anjuran sekolah, organisasi sukan atau kelab belia.
Remaja yang melanggar perintah berkurung itu akan dibawa ke balai polis sebelum ibu bapa perlu membawa mereka pulang. 

Walaupun langkah melaksanakan perintah berkurung untuk remaja itu menampakkan hasil di negara-negara berkenaan, sesetengah pihak di Malaysia masih tidak bersetuju dengan cadangan melaksanakan peraturan itu.
Ada yang berpendapat perintah berkurung melanggar hak asasi, kebebasan dan pergerakan kanak-kanak. Tidak kurang juga yang berkata ia tidak akan memberi kesan kerana walaupun di rumah, remaja tidak akan tidur awal kerana masih boleh ‘bebas’ dan aktif di media sosial.  
Yang pasti, sama ada menyokong atau sebaliknya, ramai sependapat bahawa ibu bapa perlu mampu mendidik, mengawal, mendisiplin, memantau aktiviti dan keberadaan anak masing-masing. 
Namun, siapa sebenarnya yang bertanggungjawab terhadap perlakuan mereka? Ibu bapa, guru, kaum keluarga, masyarakat, pihak berkuasa atau kerajaan?
Jika semua pihak lebih prihatin dan melaksanakan tanggungjawab mendidik remaja kita, mungkin negara ini tidak memerlukan perintah berkurung untuk remaja.
Tetapi jika semua pihak terlalu 'sibuk' atau tidak mahu dikatakan 'menyibuk', maka wajar dipertimbangkan cadangan berkenaan.



Friday, 5 April 2019

10 WAYS TO GET RID OF A HEADACHE



1. Try a Cold Pack

If you have a migraine, place a cold pack on your forehead. Ice cubes wrapped in a towel, a bag of frozen peas, or even a cold shower may lessen the pain. Keep the compress on your head for 15 minutes, then take a break for 15 minutes. 

2. Use a Heating Pad or Hot Compress 
If you have a tension headache, place a heating pad on your neck or the back of your head. If you have a sinus headache, hold a warm cloth to the area that hurts. A warm shower might also do the trick. 

3. Ease Pressure on Your Scalp or Head 
If your ponytail is too tight, it could cause a headache. These "external compression headaches" can also be brought on by wearing a hat, headband, or even swimming goggles that are too tight. In one study, women who loosened their hair saw their headache disappear. 

4. Dim the Lights 
Bright or flickering light, even from your computer screen, can cause migraine headaches. If you’re prone to them, cover your windows with blackout curtains during the day. Wear sunglasses outdoors. You might also add anti-glare screens to your computer and use daylight-spectrum fluorescent bulbs in your light fixtures. 

5. Try Not to Chew
Chewing gum can hurt not just your jaw, but your head as well. The same is true for chewing your fingernails, lips, the inside or your cheeks, or handy objects like pens. Avoid crunchy and sticky foods, and make sure you take small bites. If you grind your teeth at night, ask your dentist about a mouth guard. This may curb your early-morning headaches.
6. Get Some Caffeine 
Have some tea, coffee, or something with a little caffeine in it. If you get it early enough, it could ease your headache pain. It can also help over-the-counter pain relievers like acetaminophen, work better. Just don’t drink too much because caffeine withdrawal can cause its own type of headache.

7. Practice Relaxation
Whether it is stretches, yoga, meditation, or progressive muscle relaxation, learning how to chill out when you’re in the middle of a headache can help with the pain. You might even talk to your doctor about physical therapy if you have muscle spasms in your neck. 

8. Try Massage 
You can do it yourself. A few minutes massaging your neck and temples can help ease a tension headache, which may result from stress. 

9. Take Some Ginger 
A small recent study found that taking ginger, in addition to regular, over-the-counter pain meds, eased pain for people in the ER with migraines. Another found that it worked almost as well as prescription migraine meds. You can try a supplement or maybe brew some tea. 

10. Take Meds in Moderation

Pharmacy shelves are stocked with pain relievers for all kinds of headaches. They may work, but to get the most benefit with the least risk, follow the directions on the label and these guidelines: 
* Choose liquid over pills. Your body absorbs it faster.
* Take painkillers as soon as you feel pain. You’ll likely beat it with a smaller dose.
* If you get sick to your stomach when you get a headache, ask your doctor what might help.
*Ask your doctor what to take to avoid a rebound headache -- pain that sets in after a few days of taking pain relievers.


And be sure to talk to your doctor about what headache symptoms you should not try to treat at home.


Sumber: WebMD