Tuesday, 19 November 2019

BERNIAGA TAK BOLEH SENSITIF


“Kak...berapa harga jubah kaftan tu?” tanya seorang daripada lima wanita yang sedang berdiri di depan meja booth tempat saya menjual batik…kelihatan ada di antara mereka yang berbisik.
“Lima puluh…,” belum sempat saya habis menjawab, wanita itu terus menyampuk, “Empat puluh ringgit jerrrrr…,” katanya sambil sedikit mencebik dan dengan nada sinis.

“Maaf dik, Akak tak mampu jual pada harga tu, tak lepas pelbagai kos dan modal pun,” saya cuba membalas reaksi mereka dengan tenang. Mereka ketawa dan berlalu.
Hati sedikit terguris dengan reaksi mereka. Mungkin kerana kami saling mengenali, mungkin juga saya belum biasa dengan dugaan sebegitu kerana saya baru sahaja berniaga sepenuh masa, atau mungkin juga saya terlalu sensitif.
Pada masa sama, saya sangat bertuah dan bersyukur kerana ada beberapa sahabat yang sangat menyokong ‘dunia’ baharu saya.
Ada yang beli pakaian batik, ada yang selalu beli kuih-muih dan makanan yang saya jual. Ada antara mereka membeli bukan sahaja sehelai, malah berhelai-helai. Bukan sedikit makanan malah banyak - untuk ‘berkenduri’ dengan rakan-rakan sepejabat.
Bukan saja membeli sekali malah berkali-kali -- yang secara tidak langsung membantu memasarkan produk saya.
Kebanyakan mereka tidak putus-putus memberikan semangat agar saya tabah dan tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan perniagaan.
Saya juga sangat menghargai sahabat-sahabat yang sentiasa menyemarakkan semangat dan mempunyai keyakinan bahawa, “Sari, kau mampu, kau boleh”… walaupun mereka tidak pernah membeli apa-apa dari saya. Saya tak kecil hati sedikit pun.
Malah, ada kalangan penjual batik lukis dalam talian yang menjadi sahabat baharu saya – memberikan semangat serta banyak panduan dan nasihat mengenai batik lukis.
“Bila berniaga, tak boleh sensitif!” tegas seorang sahabat.
Terima kasih sahabat semua.
Berbalik kepada kisah batik, ada rakan-rakan, kenalan dan saudara-mara yang bertanyakan “Kenapa batik, kenapa tidak tumpukan pada makanan?”…jawapannya bukan sahaja  agak panjang lebar malah saya mungkin agak emosi bila menjelaskannya.
Jadi ringkasnya, “Saya mahu lihat orang ramai pakai batik lukis tempatan, bukan batik import. Bukan fabrik yang menyerupai batik atau lebih tepat ‘batik tiruan’ keluaran kilang milik pengeluar ternama. Saya akan terus memasak, menjual kuih-muih dan makanan seperti biasa, InsyaAllah.”

Memang, setiap orang punya hak memilih pakaian sendiri. Itu saya faham.
Cuma yang sukar saya fahami adalah alasan yang diberikan – tidak beli batik lukis tempatan sebab mahal, harga beratus-ratus ringgit.
Atas alasan itu juga, ramai orang tidak yakin untuk berniaga batik lukis tempatan. Jika ada sekalipun, kebanyakannya memang sejak lama berniaga batik.
Malah ramai juga pekerja di kedai batik yang memberitahu bahawa sukar menjual produk batik lukis tempatan. Malangnya, pelanggan juga mempunyai tanggapan serupa.
Seperti yang pernah saya sebut sebelum ini, saya pernah diajukan soalan,“Tak susah kah nak jual batik lukis. Batik mahal dan niche sangat?”
Hakikatnya...memang susah nak jual apa pun...jika kita fikir ia susah.
Batik lukis sangat mahal? Tak lah!
Kalau beli yang sutera...memanglah harga agak tinggi ...nama pun sutera. Takkan nak pakai sutera setiap hari!
Sekarang ni ada banyak batik daripada kain kapas (cotton)- yang pelbagai kualiti di pasaran. Harganya semua mampu bayar!
Jika anda mampu membeli blouse berharga dalam lingkungan RM100 hingga RM200, maka anda pasti mampu membeli sepasang pakaian daripada batik lukis.  Begitu juga kemeja batik lukis lelaki dan pakaian kanak-kanak.
Terpulang nak yang mana, motif apa, kualiti dan berapa bajet!
Bila kita cakap pasal kualiti, bukan sekadar kualiti kain tu cotton viscose, cotton span, fuji, sutera atau satin...
Lihat juga kualiti corak...ada yg nampak coraknya macam straight forward, ada yang nampak berlapis-lapis, corak kaku, corak penuh, naif, tradisional, abstrak dan seumpamanya.
Ada yang coraknya kelihatan halus berseni, ada juga yang bagaikan contengan manakala ada yang macam lukisan budak sekolah.
Hakikatnya, nothing can go wrong with batik...
Tepuk dada tanya selera, bukan makan jer ada pelbagai selera...
Ada yang suka seni, ada yang suka contengan, ada yang suka abstrak...
Ada yang suka corak sedikit, ada yang suka corak penuh dan macam-macam selera kita.
Jadi, usah nak banding orang tu jual batik ‘serupa’, lebih murah atau lebih mahal...
Tengok semua aspek tu...dan nilai sendiri
Itu belum dilihat jahitannya. Kemas atau sebaliknya?
Hakikatnya bukan sahaja fabrik membuat batik terdiri pelbagai kualiti dan kategori, pelukis batik juga terdiri daripada pelbagai kategori, begitu juga tukang jahit…

Jadi...jom beli batik lukis tempatan
Jom pakai batik lukis Malaysia setiap hari



No comments: