Tun Omar Ong
sempena bulan Kemerdekaan
“Bukan begitu.
Bukan ‘Mentega’. Sebut begini, ‘Mer-de-ka…,” sambung beliau cuba membetulkan
sebutan mereka.
Kisahnya, mereka
adalah kumpulan peniaga berbangsa Cina yang tidak fasih berbahasa Melayu
(bukanlah sesuatu yang janggal ketika itu), namun sangat teruja menyambut
laungan “Merdeka” sebanyak 7 kali oleh Tunku Abdul Rahman Putra
Al-Haj(Almarhum) ketika mengisytiharkan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Walaupun perbualan
itu sudah hampir 20 tahun berlalu, namun celotehnya masih segar dalam ingatan
penulis. Saban tahun, apabila menjelang Hari Kebangsaan, pastinya penulis akan
terkenangkan Allahyarham Tun Omar Ong Yoke Ling.
Siapakah Omar Ong
Yoke Lin? Tidak menghairankan sekiranya kalangan generasi sekarang tidak
mengenali beliau. Tun Omar dilahirkan pada 23 Julai,1917 dan meninggal dunia
pada 1 Julai, 2010.
Beliau adalah
seorang daripada pengasas MCA, orang yang pertama membawa masuk alat penyaman
udara ke Tanah Melayu, seorang ahli perniagaan, anggota politik, pejuang
kemerdekaan dan diplomat. Beliau pernah memegang pelbagai portfolio dalam
kabinet sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman.
Berpeluang
mengenali beliau pada usianya menjangkau 82 tahun ketika itu, penulis amat
kagum dengan daya ingatannya yang mampu mengingati setiap detik yang dilalui.
Banyak diceritakan kisah-kisah silam terutamanya ‘jalan’ menuju kemerdekaan.
Ada yang penuh pengajaran, sedih, gembira dan ada pula yang mencuit hati.
Boleh dikatakan
kemerdekaan negara ini tidak sukar diperoleh, tidak berlaku peperangan mahupun
pertumpahan darah, walaupun pelbagai peristiwa suka duka dilalui demi
membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah, demikian menurut beliau kepada
penulis,
Dengan suara yang
sebak, Tun Omar mengakui tidak dapat menahan air mata semasa Tunku Abdul Rahman
pertama kali mengisytiharkan kemerdekaan. Sejak itu, setiap 31 Ogos, begitulah
keadaan beliau kerana perasaan itu sentiasa segar di dalam jiwanya.
Detik menjadi
hamba British, hamba Jepun
Penulis masih mengingati
perbualan dengan Tun Omar, “Banyak yang saya lalui. Setahun pun tak habis
cerita. Ringkasnya, British menyusahkan kita. Saya pernah sorokkan bijih timah
kerana mereka letakkan harga terlalu murah, saya menjualnya bila habis musim
British membeli. Masa jadi menteri, saya pernah ‘culik’ seorang rakan yang juga
menteri dan membawanya melihat Hospital Besar Kuala Lumpur yang uzur, sebagai
usaha mendapatkan peruntukan. Ya, saya dapat. Saya pernah kena tempeleng dengan
tentera Jepun dan banyak lagi,”
Zaman Jepun pun
teruk, katanya. Walaupun tentera Jepun bermaharajalela dan kejam, beliau
mengakui mendapat banyak pengajaran yang mendewasakan dirinya.
Bayangkanlah
betapa orang ramai sangat takut jika terserempak tentera Jepun, mereka lari
bertempiaran atau segera bersembunyi dalam parit.
Sama ada sedang
berjalan, berbasikal atau berkereta, orang ramai perlu berhenti, turun dari
kenderaan dan tunduk 90 darjah di hadapan tentera Jepun sebelum meneruskan
perjalanan.
Suatu hari Tun
Omar sedang berbasikal sambil berangan-angan, tanpa disedari beliau melintasi
pondok kawalan tentera Jepun tanpa berhenti mengayuh basikal.
Tentera Jepun
menengking sehinggakan beliau terkejut dan terjatuh basikal. Tentera itu meluru
ke arahnya lantas menempelengnya beberapa kali sambil memaki hamun.
“Saya amat marah
dan berikrar di dalam hati untuk balas dendam. Saya akan tampar sekuat mungkin
setiap tentera Jepun di seluruh negara apabila mereka ditewaskan oleh British,”
katanya tersenyum.
Tunku, seorang
gentleman
Menceritakan hal
Tunku Abdul Rahman, nyata Tun Omar sangat menghormati dan memujinya. Beliau
bercerita kisah-kisah perjalanan Tunku Abdul Rahman sebelum dan selepas
merdeka.
“Tunku benar-benar
gentleman. Kelengkapan pejabatnya ala kadar, banglonya usang. Tidak sesuai jika
dibandingkan tarafnya sebagai ketua sebuah parti terbesar di Malaya.
“Ketika di London,
kerana tidak ada duit, Tunku bukan sahaja tinggal di hotel murah, malah
berkongsi bilik. Tunku tidak dapat tidur kerana rakannya kuat berdengkur.
Esoknya, Tunku buat perjanjian, meminta rakannya supaya tidak tidur sehingga
Tunku tidur dahulu. Tapi perkara serupa berulang,” nyata beliau terhibur
bercerita masa lampau. Sesekali beliau merenung jauh, seakan-akan mengenangkan
sesuatu sebelum menyambung kisahnya.
Sebagai antara pengasas
MCA (1952), Tun Omar menjadi Ketua MCA Selangor dan kemudiannya Naib Presiden
MCA.
Allahyarham bukan
sahaja antara perintis ke arah pembentukan Perikatan MCA-Umno malah merupakan
salah seorang pemimpin utama yang memainkan peranan penting dalam arena politik
negara sebelum dan selepas kemerdekaan malah antara anggota kabinet pertama negara
di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman.
Jasa Tun Omar
kepada negara
Tun Omar juga
adalah seorang daripada 4 anggota parti Perikatan yang menggubal Perlembagaan
Tanah Melayu di London pada April 1957. Beliau juga antara orang yang
menandatangani perjanjian penubuhan Malaysia di London pada 1963.
Selepas penubuhan
Malaysia, Tun Omar berkhidmat pula sebagai Menteri Tidak Berportfolio sehingga
1972, juga menjadi Wakil Tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Beliau
pernah menjadi Menteri Pos dan Telekomunikasi, Menteri Pengangkutan, Menteri
Buruh & Kebajikan Sosial dan Menteri Kesihatan ketika hayatnya. Akhirnya,
beliau dilantik sebagai Presiden Dewan Negara – sehingga bersara pada tahun
1980.
Lihatlah betapa
banyaknya jasa Allahyarham Tun Omar Ong Yoke Lin. Keakraban Allahyarham Tun
Omar dan Almarhum Tunku Abdul Rahman memang diketahui umum.
Tun Omar
menunjukkan coretan Tuanku Abdul Rahman bertarikh 19 Mei, 1977 di muka awal
bukunya bertajuk Looking Back:
“Kepada Omar Yoke
Lin, rakan seperjuangan yang melahirkan Perikatan Melayu-Cina untuk mencapai
Kemerdekaan dan kini menjadi saudara seIslam. Jika lebih ramai dapat
menteladani beliau, tanah air milik kita ini akan menjadi aman dan makmur
selama-lamanya. Insya-Allah.”
Coretan Tunku pada
sebuah lagi bukunya bertajuk Something to Remember pula:
“Omar Yoke Lin,
selagi jantung saya masih berdegup, saya akan terus mengingati saudara sebagai
antara teman saya yang paling rapat, sahabat seperjuangan dan saudara seIslam.”
Jasa Allahyarham
Tun Omar Ong Yoke Lin dan rakan seangkatannya akan terus diingati.
Keperibadiannya yang sangat sopan dan lembut tutur kata sering menjadi buah
mulut sesiapa sahaja yang mengenalinya. Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat
dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
No comments:
Post a Comment