Teringat hari-hari
akhir di pejabat. Kontrak saya akan tamat tidak lama lagi.
Memang sedih. Bukan
sahaja sedih untuk meninggalkan dunia kewartawanan yang sudah sebati dengan hidup ini,
malah sedih untuk berpisah dengan rakan-rakan yang sudah bagaikan keluarga sendiri.
Saya tahu langkah
seterusnya. Yang pasti, tidak boleh terus mengharapkan kerja-kerja freelance
bidang penulisan. Saya yakin rezeki ada di mana sahaja. Rezeki itu daripada
Allah. Cuma…perlu ikhtiar, usaha dan tawakkal.
Maka, saya membuat
persediaan untuk berniaga.
Berniaga apa? Itu
bukan masalah. Berniaga batik, kraf tradisional & makanan tradisional.
Mudah membuat
keputusan. Bagaimana?
Pada saat-saat
memikirkan masa depan, saya sentiasa teringatkan pakar ekonomi tersohor yang
juga bekas presiden Bursa Malaysia, Datuk Salleh Majid (Allahyarham).
Ketika hayatnya
lagi, beliau selalu menyuruh aku berhenti kerja. “Sudahlah, lepaskan jawatan
tu. Buka bisnes. Buat bisnes produk yang kau suka. Sambil tu, kau masih boleh
menulis.”
Kata-katanya itu
sentiasa menerjah fikiran, apatah lagi ketika ini…di mana saya sudah mula berniaga kecil-kecilan. Beliau malah, mahu menghantar saya menimba ilmu,
menyediakan modal dan membantu pelbagai aspek jika saya mahu berniaga.
Namun, kecintaan
terhadap dunia kewartawanan ketika itu mungkin membuatkan saya memandang ringan
akan saranan beliau.
Kini, ada kalanya saya tertanya diri sendiri, apakah sudah
terlewat untuk mula berniaga? Malah, ada
kalanya terfikir, mungkin saya patut mendengar nasihat arwah sejak dulu. Beginilah,
lambat laun, saya perlu berpaling dari ‘dunia’ lampau.
Ya, seperti
katanya, pilih produk yang aku minat.
Batik- mudah untuk saya membuat keputusan untuk
produk utama.
Kenapa? Memang saya suka batik. Dalam tahun-tahun 1980an sehingga awal 2000, pakaian utama saya adalah
batik. Namun apabila usia meningkat, saiz pakaian sudah bertukar kepada yang lebih besar, sementelah saya juga sudah bertukar cara berfesyen, maka kesemua kebaya batik bukan sahaja tidak sesuai lagi malah tidak muat untuk dipakai. Maka saya berikan kepada rakan-rakan dan sanak-saudara yang
lebih muda.
Sejak itu, agak
sukar menggantikan fesyen batik memandangkan ketika itu saya bekerja sendiri dan harga batik
bukanlah calang-calang. Apatah lagi industri batik ketika itu pula agak suram
Berbual dengan
pengeluar batik baru-baru ini, mereka mengakui bahawa permintaan terhadap batik
sudah semakin meningkat. Kata mereka, saranan kerajaan supaya kakitangan awam
memakai batik pada hari Khamis- turut menyumbang kepada perkembangan itu. Alhamdulillah.
Kini, sudah
terdapat batik dan pakaian batik yang diperbuat daripada kain kapas yang
pelbagai. Maka, harganya tidaklah semahal dahulu. Malah, boleh dikatakan murah.
Bayangkan, kini kita boleh membeli dua atau tiga helai helai jubah batik yang diperbuat daripada fabrik cotton
viscose (sejenis kain kapas) dengan harga yang sama dengan sehelai jubah batik
crepe. Begitu juga kain pasang.
Sayalah antara manusia
yang paling gembira dengan perkembangan ini.
Namun,
kebelakangan ini, nampaknya rakyat Malaysia lebih cenderung membeli dan memakai
batik dari negara lain.
Alasannya, batik ‘kita’
mahal!
Hakikatnya, itu
hanya tanggapan mereka. Walhal mereka mungkin telah lama tidak membelek harga
batik tempatan- batik Malaysia yang banyak dikeluarkan di Kelantan, Terenggau
dan beberapa negeri lain. Atau, mungkin juga mereka tidak tahu pun bahawa kini ‘kita’
ada batik yang lebih mampu beli.
Jadi, batik bagi
saya bukan sekadar untuk mencari rezeki…lebih daripada itu…saya ingin melihat
lebih ramai rakyat Malaysia memakai batik tempatan. Bukan sekadar untuk majlis
atau hari tertentu.
Lihatlah betapa
cantiknya hasil seni rakyat negara ini.
Batik juga seni. Batik memerlukan kreativiti.
Jangan dibiarkan batik sarung hanya untuk basahan dan pakaian batik hanya untuk tujuan tertentu.
Jadikan batik Malaysia sebagai pakaian harian, pelbagaikan fesyen daripada kain batik.
Keinginan hati
saya terlalu mendalam untuk melihat rakyat Malaysia memartabatkan batik serta
pelbagai kraf dan produk tempatan umpamanya bahan anyaman, ukiran, permainan
dan makanan tradisional serta seumpamanya.
Sudah-sudahlah…Marilah
kita bersama-sama memartabatkan batik tempatan- batik Malaysia.
SUKAR untuk
meluahkan harapan ini dengan lebih jelas.
Barangan anyaman semakin
sukar diperolehi. “Generasi muda tidak berminat malah jika ada yang berminat
sekalipun sumber semulajadi kita hampir pupus -umpamanya mengkuang, rotan dan
pandan,” – begitu penjelasan para pembekal produk anyaman.
Maka, mereka
terpaksa mendapatkan produk-produk daripada negara-negara jiran. Mudah sahaja
bekalan mudah diperolehi, malah jauh lebih murah.
Jika begitu
keadaan mereka, bagaimana saya mahu mendapatkan produk-produk seumpama itu –
tikar, bakul, beg & perhiasan rumah? Maka, terpaksa tepuk dada tanya selera…ambil
yang tempatan jika ada bekalan, jika sebaliknya…masakan hendak menongkah arus.
Makanan termasuk kuih-muih
dan kudap-kudapan tradisional seperti serunding Kelantan, peria rangup, keropok
amplang Tawau, Sabah, kuih cincin Papar, Sabah, kek lapis Sarawak dan karipap
mini ikan Terengganu…juga antara produk saya. Tidak, saya tidak menyediakan kesemuanya. Biarlah
mereka yang pakar menyediakan bekalan untuk saya.
Cukuplah kisah peralihan
hidup saya…Saya bukan wartawan tetapi saya penulis…dan akan terus menulis.
InsyaAllah, akan
saya kongsikan cabaran-cabaran awal berniaga, dan seterusnya.
No comments:
Post a Comment