Friday, 12 April 2019

AWAT LEPAK SAMPAI LEWAT MALAM?



Sejak larangan merokok dikuatkuasakan pada Jan lalu, macam-macam kerenah perokok yang dapat kita lihat setiap hari, terutamanya di gerai-gerai serta restoran-restoran.
Rungutan juga tidak habis-habis kita dengar sama ada daripada golongan tidak merokok mahupun kalangan perokok, walaupun sudah kira-kira empat bulan larangan itu berkuat kuasa.

Baru-baru ini, ketika ke restoran mamak berdekatan rumah, saya dapati ramai remaja melepak di restoran itu sedangkan jam sudah menunjukkan lebih 12 tengah malam.
Ya, mereka masih berada di luar rumah masing-masing sehingga lewat malam/awal pagi sedangkan jika dilihat wajah masing-masing, mereka itu masih dalam belasan tahun dan masih bersekolah.
Lebih menjengkelkan apabila melihat hampir kesemua remaja itu merokok.
“Larangan merokok sudah dikuatkuasakan 1 Jan lepas, perintah berkurung remaja bila lagi?
“Ada larangan merokok pun macam tak ada bezanya... pihak restoran meletak meja di luar untuk mereka melepak. Itu pun tak sampai tiga meter dari kaki lima restoran,” kata saya melepaskan geram. 
Boleh dikatakan setiap malam, begitu ramai remaja melepak di restoran itu. Begitu juag beberapa restoran lain yang berdekatan. Bayangkanlah, jika purata 15 remaja berada di setiap restoran itu, jumlahnya hampir 100 orang.
Hati tertanya-tanya, apakah ibu bapa mereka tidak peduli akan keberadaan anak-anak mereka?  Sambil menunggu teh tarik dan roti canai yang dipesan, saya memerhatikan gelagat kumpulan remaja di situ.
Masing-masing khusyuk dengan telefon bimbit, jarang sekali mereka berbual. Sesekali kedengaran ada antara remaja itu tiba-tiba menyumpah seranah, malah mencarut - hati berdetak, mungkin kalah permainan dalam talian.
Di hadapan mereka pula terdapat minuman dalam plastik yang diikat tepi dan diletakkan di dalam mangkuk.
Sebenarnya, sudah lama saya melihat minuman dihidang sebegitu namun baru malam itu berkesempatan bertanya pada pekerja restoran. 
“Budak-budak beli bungkus, beza 20 atau 30 sen saja, air dalam plastik lebih banyak dari gelas. Order satu bungkus, lepak satu malam,” kata pekerja restoran itu.   
Setap kali melewati kawasan pusat bandar itu, saya pasti akan melihat setiap restoran di situ. Nyata, kumpulan pelanggan di restoran-restoran itu berbeza pada waktu-waktu tertentu.
Ramai yang berkeluarga, golongan belia dan ‘pak cik-pak cik’ mengunjungi restoran-restoran itu di antara pukul 8 hingga 11 malam.
Semakin lewat malam, ‘geng’ remaja mula mengisi kerusi-kerusi di restoran-restoran itu. Lebih ramai yang berbuat demikian pada hujung minggu.
Tidakkah mereka bersekolah keesokannya? Tidakkah ibu bapa remaja itu memarahi mereka bila balik ke rumah nanti? Banyak persoalan yang menerjah fikiran saya.

Teringat ketika zaman remaja, saya dan adik-adik dididik supaya pulang ke rumah pada waktu makan dan waktu solat.
Jika keluar bermain pada waktu pagi, kami mesti balik ke rumah sebelum tengah hari. Jika keluar selepas waktu Asar, mesti pulang sebelum waktu Maghrib. Kami tidak dibenarkan keluar pada waktu malam.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa zaman mendidik sebegitu sudah berlalu kerana masa dan keadaan sudah berubah. Jadi, bagaimanakah cara mendidik anak yang sewajarnya yang sesuai dengan masa kini? Apakah dengan membiarkan mereka berpeleseran dan melepak sehingga awal pagi?
Tidak lama dulu heboh tentang cadangan supaya perintah berkurung dilaksanakan pada waktu malam bagi remaja bawah umur.
Banyak pihak berkongsi pendapat mengenai cadangan itu. Ada yang menyokong, ada juga sebaliknya.
Di media sosial, kebanyakan netizen bersetuju dengan cadangan itu. Malah, pungutan suara akaun The Reporter laman Facebook pada 17 Jan lepas mendapati sebanyak 97 peratus bersetuju supaya perintah berkurung untuk remaja di bawah 18 tahun selepas jam 12 malam dilaksanakan manakala hanya 3 peratus yang tidak bersetuju.
Hakikatnya, cadangan itu bukanlah perkara baharu malah pernah disebut susulan kemalangan di Johor Bahru pada 3 pagi pada Februari tahun lepas apabila sebuah kereta merempuh sekumpulan 16 remaja yang sedang berbasikal menyebabkan lapan daripada mereka maut.
Malah, beberapa persatuan ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan turut mencadangkannya sejak beberapa tahun lalu.
Sehingga kini, persoalan berkaitan perintah berkurung itu umpama ‘tenggelam timbul’ tanpa sebarang kata putus.
Hakikatnya, tujuh negara iaitu Amerika Syarikat, Australia, Thailand, Jerman, Britain, Iceland dan United Kingdom sudah menjadikan perintah berkurung ke atas remaja dan kanak-kanak sebahagian daripada peruntukan undang-undang negara masing-masing. Iceland mendahului senarai remaja paling berkelakuan baik di Eropah.
Kebanyakan negara itu menetapkan perintah berkurung melibatkan remaja berusia 16 tahun ke bawah tidak dibenarkan keluar rumah melebihi jam 10 malam manakala remaja bawah 18 tahun pula dilarang keluar melebihi 12 malam.
Akta Perlindungan Kanak-kanak Iceland 2002 memperuntukkan kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah tidak boleh berada di luar rumah selepas 8 malam melainkan ditemani orang dewasa.
Remaja berusia 13 hingga 16 tahun pula tidak boleh berada di luar rumah selepas 10 malam melainkan mereka dalam perjalanan pulang daripada program anjuran sekolah, organisasi sukan atau kelab belia.
Remaja yang melanggar perintah berkurung itu akan dibawa ke balai polis sebelum ibu bapa perlu membawa mereka pulang. 

Walaupun langkah melaksanakan perintah berkurung untuk remaja itu menampakkan hasil di negara-negara berkenaan, sesetengah pihak di Malaysia masih tidak bersetuju dengan cadangan melaksanakan peraturan itu.
Ada yang berpendapat perintah berkurung melanggar hak asasi, kebebasan dan pergerakan kanak-kanak. Tidak kurang juga yang berkata ia tidak akan memberi kesan kerana walaupun di rumah, remaja tidak akan tidur awal kerana masih boleh ‘bebas’ dan aktif di media sosial.  
Yang pasti, sama ada menyokong atau sebaliknya, ramai sependapat bahawa ibu bapa perlu mampu mendidik, mengawal, mendisiplin, memantau aktiviti dan keberadaan anak masing-masing. 
Namun, siapa sebenarnya yang bertanggungjawab terhadap perlakuan mereka? Ibu bapa, guru, kaum keluarga, masyarakat, pihak berkuasa atau kerajaan?
Jika semua pihak lebih prihatin dan melaksanakan tanggungjawab mendidik remaja kita, mungkin negara ini tidak memerlukan perintah berkurung untuk remaja.
Tetapi jika semua pihak terlalu 'sibuk' atau tidak mahu dikatakan 'menyibuk', maka wajar dipertimbangkan cadangan berkenaan.



No comments: