Monday, 16 January 2017

MABUL - KECIL YANG MEMIKAT


       
           Keindahan Pulau Mabul memang mengagumkan. “Suatu hari saya mesti pergi ke Mabul,” detik hati beberapa tahun lalu.

          Dua tahun berlalu dan sudah tiba masanya untuk menjejakkan kaki ke pulau yang diidam-idamkan itu. Jemputan untuk membuat liputan  ke Mabul itu ibarat “pucuk dicita ulam mendatang.”
          Sejak menerima jemputan itu, saban hari saya hanya terbayangkan kejernihan air yang mengelilingi pulau itu. Ya…itulah yang telah di baca dan lihat melalui pelbagai media sebelum ini.
         
Selain itu, apakah lagi yang diinginkan ketika percutian di pulau jika bukan pemandangan indah pantai dan lautannya, keindahan matahari terbit di waktu pagi serta tenggelam di senja hari?
          Lima hari di Mabul, pengalaman yang saya perolehi lebih daripada yang dijangkakan.
          Pulau Mabul di Sabah, memang terkenal di kalangan para penyelam skuba. Bagi mereka, pastinya keindahan dasar lautan di situ yang sudah gah di serata dunia – ingin mereka terokai dan nikmati. 
          Tapi, saya bukan penyelam.    
        Namun tidak bermakna pengalaman saya hambar. Sangat menarik, satu dalam seribu dan pastinya sukar dilupakan.    
       Di mata saya dan pastinya sesiapa juga yang pertama kali menjejakkan kaki ke perkampungan nelayan di pulau itu, pastinya akan merasakan kehidupan penduduk yang terdiri daripada masyarakat beragama Islam, berketurunan Suluk dan Bajau Laut itu kelihatan amat susah malah ada yang ‘nampaknya’ daif.
          Tetapi setelah bergaul dan mengenali mereka, nyata tanggapan saya agak meleset. Jurang kehidupan itu hanya di mata saya.
           Mereka senang seadanya, masing-masing punyai rumah, makanan dan mampu menyara hidup keluarga.           

Walaupun tinggal di  rumah kecil yang pastinya tidak cukup luas untuk keluarga yang agak besar, wajah mereka sentiasa jernih dan ceria.
       Tidak langsung kelihatan wajah-wajah stres, namun begitu, jelas kelihatan wajah yang dibakar mentari dan dimakan usia  dek jerih-payah mencari rezeki. 
         Hidangan harian biasanya ikan goreng atau ikan mentah yang disediakan dengan cara tersendiri, di makan sama ada dengan nasi atau kanji ubi kayu yang disediakan cara tradisional.

        Sayuran-sayuran, daging atau ayam jarang dihidangkan kerana harganya lebih mahal dan terpaksa di 'import' dari Semporna.

          Berjalan-jalan di sekitar kampung, kelihatan banyak kedai runcit yang menjual keperluan dapur.  Menariknya, kebanyakan barangan dijual dalam pek-pek kecil dengan harga di antara 20sen hingga 50 sen. Sama ada minyak masak, gula, garam, cecair pencuci pakaian, cecair pelembut pakaian, kesemuanya dalam pek kecil.
          Mungkin juga untuk kemudahan para pelancong di situ, selain mengikut kemampuan penghuni pulau tersebut.
     Malah, bihun goreng juga di jual dalam pek kecil, sesuai dengan kemampuan kanak-kanak di situ antara 20-50sen juga.
      
Sama ada di waktu pagi, tengah hari, petang atau malam, pastinya kelihatan ramai kanak-kanak di sana sini.
       Tidak kurang juga golongan lelaki dan wanita dewasa yang berkumpul dan berbual-bual.
      Apakah lagi yang perlu mereka buat setelah selesai ke laut? Hendak menonton, hanya beberapa buah rumah saja yang memiliki televisyen. Bekalan letrik dipulau itu hanya dibekalkan dari pukul 6 petang hingga 7 pagi.
   Teringatkan kata-kata seorang kenalan, bahawa kebanyakan keluarga mempunyai 5 hingga 7 orang anak, terlintas pula difikiran, ternyata kelihatan macam jumlah kanak-kanak lebih ramai daripada orang dewasa di pulau itu.

    Difahamkan terdapat kira-kira 750  kanak-kanak daripada 3,000 penduduk di situ. Sejumlah 250 kanak-kanak yang mempunyai dokmen sah bersekolah di sekolah kerajaan, 80 di Mabul Kids Education Society Sabah (Mabul Kids) –sebuah sekolah sukarela dan selebihnya tidak bersekolah kerana tidak mempunyai dokumen sah.
       Jadi wajar, jika kebanyakan mereka sentiasa kelihatan berkejaran atau bermain di setiap pelosok pulau itu.     

            Daripada pengamatan saya, terdapat empat kelompok kanak-kanak dengan perwatakan berbeza di pulau ini. Mabul kids bukan saja mesra malah mudah diberi tunjuk ajar, berdisiplin  dan akur.     
Kanak-kanak yang bersekolah kerajaan juga mudah diajak bergaul tetapi kanak-kanak yang tidak bersekolah walaupun agak mesra namun perlu dibentuk dan didisiplinkan.
      Kumpulan lain ialah kanak-kanak Bajau Laut yang tinggal di pelosok lain pulau tersebut. Mereka tidak mesra dan sekiranya didekati atau dirakam gambar, mereka mengharapkan habuan. Sekiranya diberikan makan atau wang pada seorang, yang lain akan menyerbu.
          Pulau Mabul hanya seluas 20 hektar dan seseorang boleh berjalan-jalan melawat keseluruh kampung di situ dalam tempoh kurang 45 minit, iaitu untuk perjalanan yang kurang 4 kilometer mengelilinginya.
          Apa yang pasti, walaupun anda bukan seorang penyelam, anda juga boleh menikmati keindahan dasar laut dengan aktiviti snorkeling.
      Malah keindahan kehidupan perkampungan itu juga punya tarikan yang tersendiri. Sentiasa ada senyuman dan gelak tawa!

No comments: