Tuesday, 1 August 2017

SIFU SIOW PAKAR 'KEPALA SINGA'

         Pertama kali bertemunya, seseorang pasti akan teringatkan wajah guru kungfu seperti yang pernah di tonton di dalam filem. Air mukanya tenang. Beliau bukan saja peramah, malah wajahnya sentiasa manis dengan senyuman. Matanya bersinar keceriaan namun menyerlahkan kelembutan.
         
Siow Ho Phiew, menyambut kedatangan kami dengan penuh mesra. Sambil bersalaman, beliau memberitahu, “saya tidak begitu fasih bahasa Melayu, sekadar bahasa pasar bolehlah,” katanya. Seorang yang rendah diri, tiada siapa akan menyangka yang beliau adalah seorang guru tarian singa yang disegani dunia.
          Lebih terkenal dengan panggilan Master Siow atau Sifu Siow,62, beliau bukan saja pernah melatih kumpulan Tarian Singa dari Muar Johor, Selangor, Kedah, Sabah dan  Sarawak, malah melahirkan kumpulan tarian singa juara dunia.
          Beliau juga pernah melatih kumpulan-kumpulan tarian singa dari serata dunia termasuk China, Macau, Hong Kong, Indonesia, Thailand, Mauritius, Australia, Jepun, Kanada, Amerika Syarikat, Sepanyol dan New Zealand.  Sifi Siow sering dijemput menjadi juri bagi pertandingan-pertandingan tarian singa. Malah, boleh dikatakan 70 peratus daripada juri dalam kebanyakan pertandingan tarian singa terdiri daripada anak muridnya.
         
Melangkah masuk ke bengkelnya di Subang 2, Shah Alam, anda akan dapat melihat berpuluh buah boneka kepala singa dalam proses pembikinan, masing-masing pada peringkat tertentu. Ada yang siap dibalut, ada yang sedang di pasang bulunya, ada yang sedang dicat  manakala banyak lagi bingkai yang kelihatan tergantung menantikan proses seterusnya. Kelihatan para pekerjanya sibuk dengan tugasan masing-masing.
          Menceritakan pembabitannya dalam pembuatan boneka kepala singa, Sifu Siow memberitahu bahawa minatnya berputik sejak kecil di mana beliau sangat suka menonton cerita kung fu dan juga melihat persembahan tarian singa yang hanya boleh ditonton ketika musim perayaan Tahun Baru Cina.
           Beliau menyertai kumpulan tarian singa semasa berumur 18 tahun. Ia bermula apabila beliau mendapat tahu bahawa salah seorang kawan bapanya adalah seorang guru kungfu. Selepas mendapat kebenaran bapanya, beliau mempelajari seni mempertahankan diri Southern Shao Lin daripada kawan bapanya itu.
          “Di situlah, saya berpeluang menyertai kumpulan tarian singa. Dalam tempoh kurang lima tahun, saya sudah menjadi pembantu jurulatih dan menjadi Master ketika berusia 24 tahun,” katanya sambil mengakui minatnya yang mendalam serta kegigihannya telah memungkinkan pencapaiannya itu.
          “Pada awalnya, saya hanya mengajar tarian singa secara sambilan kerana saya bekerja sebagai petani. Latihan tarian singa memerlukan pengorbanan dan komitment yang tinggi,” tambah beliau yang terpaksa menghadiri latihan dua hingga tiga kali seminggu selepas penat bekerja di kebun.
          Cintanya terhadap tarian singa semakin mendalam sehingga beliau menyifatkan tarian singa sudah menjadi darah dagingnya sehinggalah ke hari ini. Beliau bukan saja aktif memberi latihan tarian singa malah mempunyai perniagaan  membuat boneka kepala singa yang terkenal di seluruh dunia.
          Menceritakan penglibatannya dalam pembuatan boneka kepala singa, beliau memberitahu bahawa segalanya bermula ekoran boneka kepala singa sulungnya yang rosak. Boneka itu yang dibeli dari China sebenarnya telah lusuh dan beliau terpaksa memperbaikinya dengan menampalnya setiap kali ia rosak. Sehinggalah, suatu hari beliau mengambil keputusan untuk cuba membuatnya sendiri.
          “Puas saya renung boneka itu selama berjam-jam, membelek dan meneliti bahagian dalam boneka kepala singa itu untuk mengetahui sedikit sebanyak selok-belok pembuatannya dan memikirkan cara-cara untuk menambahbaikkannya,” jelas beliau.
          Sifu Siow mendapati reka bentuk boneka kepala singa yang dibuat dari China dan itu agak berat dan boleh menyebabkan kecederaan kepada para penari. Beliau kemudiannya mengadaptasi reka bentuk asalnya dan menambahbaik kualitinya dengan reka bentuknya sendiri. Hari ini, Sifu Siow boleh berbangga kerana pereka di negara China pula yang  mahu meniru seni kraf beliau.
          Boneka kepala singa dari China diperbuat daripada buluh yang bukan saja mudah patah bila dibentuk, malah mudah dirosakkan serangga dan ulat. Jadi, beliau menggunakan rotan untuk kebanyakan bahagian bingkai boneka kepala singa buatannya. Peralatan lain termasuklah aluminium, kain kasa, kertas khas yang diperbuat daripada buluh, bulu arnab dan  biri-biri.
         Boneka kepala singa yang pertama dibuatnya tidak sebaik yang diharapkan namun lama-kelamaan beliau berjaya. “Boneka itu memang cantik tetapi agak berat dan tidak praktikal digunakan. Saya terus mencuba dan mencuba untuk beberapa kali sehinggalah memuaskan hati. Rakan saya turut tertarik dan meminta saya menghasilkan untuknya,” jelas Sifu Siow.
          Sejak itu, boneka kepala singa buatannya mula dikenali ramai dan mendapat tempahan sehinggalah akhirnya beliau membuat keputusan untuk memulakan perniagaan dengan menubuhkan syarikat yang diberi nama Wan Seng Hang (WSH) Dragon &Lion Arts pada 1986. Syarikatnya yang kini mempunyai kira-kira 20  pekerja menghasilkan kira-kira 500 buah boneka kepala singa setiap tahun. Setiap boneka kepala singa boleh disiapkan di antara tujuh hingga 10 hari. Terdapat kira-kira 10 jenis kostum kesemuanya.
          Sifu Siow telah mereka bentuk boneka kepala singa Wan Seng Hang dengan identiti sendiri dalam dunia pembuatan kraf itu. Contohnya, seseorang yang mahu menempah kraf seumpama ini di China akan ditanya mengenai seni reka yang diinginkan, dari China atau Singa Wan Seng Hang dari Malaysia. Kini, kumpulan Tarian Singa dari China juga merupakan pelanggannya. Sifu Siow bukan sahaja menerima tempahan dari Amerika, Taiwan, Singapura dan negara-negara Eropah, bahkan China, negara asal tarian itu, juga ada mengimport boneka kepala singanya.
          Beliau menerima tempahan sepanjang tahun dan permintaan meningkat beberapa bulan sebelum sambutan Tahun Baru Cina, dan merupakan masa yang paling sibuk bagi beliau dan anak-anak buahnya. Kebanyakan tempahan datangnya dari Persatuan-persatuan Tarian Singa seluruh dunia.
          Selain anak-anaknya yang menolong operasi harian, Sifu Siow mengakui tidak susah untuk mendapat pekerja kerana generasi muda yang datang belajar daripadanya, sangat berminat dalam seni kraf tersebut. Jadi, beliau mudah memenuhi jemputan untuk sama ada mengajar tarian singa, menjadi juri atau menyertai seminar di dalam dan luar negara kerana yakin dengan para pekerjanya dalam melaksanakan tugas harian.
          Beliau yakin bahawa persembahan Tarian Singa mempunyai masa depan yang cerah. “Lihat sajalah Pertandingan Tarian Singa Genting yang dianjurkan, saban tahun lebih banyak pasukan dari seluruh dunia yang menyertainya.





No comments: