“Wow… Waaah… Waaah… Wow…”, kedengaran suara
pelancong yang masing-masing bukan sahaja kagum melihat kerlipan kelip-kelip
malah teruja apabila kawanan serangga itu terbang ke arah mereka.
Ada yang hinggap di kepala, tangan dan pakaian,
malah di bot yang mereka naiki menelusuri Sungai Cherating pada malam itu.
Hafiz terus mengemudi bot kemudian berhenti
seketika. Setiap kali dia berbuat demikian, perkara serupa berlaku. Cahaya
kelip-kelip di rimbunan pepohon di tebing sungai jadi semakin terang, lantas
kawanan serangga itu terbang ke arah bot, melewati dan menghinggapi para
pelancong untuk seketika.
Tidak terdengar sebarang ungkapan kecuali
suara-suara kekaguman, walaupun hakikatnya terdapat 50 pelancong dalam lima
buah bot di situ.
Dalam keadaan terpesona melihat kelip-kelip
berterbangan ke arah kami, penulis mencuri pandang tindak-tanduk Hafiz yang
berdiri di bahagian belakang bot. Dia membuat beberapa pergerakan tangan sambil
memegang lampu kecil samar jingga kemerahan.
Saya terfikir, begitulah caranya Hafiz ‘memanggil’
kelip-kelip.
Satu jam berlalu pantas, sekembali ke jeti setiap
pelancong kegembiraan dengan leretan pujian mengenai pengalaman menakjubkan
itu.
Siapakah Hafiz? Dikenali sebagai ‘firefly
whisperer’, Mohd Hafiz Abdul Majid, 47, arif tentang selok-belok industri
pelancongan di Cherating, terutamanya Sungai Cherating. Dia bijak melayan
pelancong dan paling istimewa, mampu ‘berkomunikasi’ dengan kelip-kelip.
Tidak hairanlah jika pemilik Hafiz’s Cherating
Activities itu menjadi buah mulut dalam industri pelancongan Pahang. Malah,
kebolehannya tercatat dalam buku panduan pelancongan terkemuka dunia, Lonely
Planet.
Dikenali dengan panggilan Hafiz, dia yang aktif
dalam aktiviti pelancongan negeri itu sejak kira-kira 11 tahun lalu memberitahu
penulis bahawa kaedah memanggil kelip-kelip diperolehinya secara tidak sengaja
ketika membelek lampu suluh yang malap sewaktu bersendirian di sungai, sembilan
tahun lalu.
“Tiba-tiba kelip-kelip terbang dekat saya. Saya
terfikir, tentu lampu malap tarik perhatian mereka. Kemudian saya belajar
mengenai kelajuan dan frekuensi cahaya, jarak lampu dari bot ke tebing sungai
dan sebagainya.
“Saya ubah suai lampu suluh, buat perkiraan dan uji
beberapa kali sebelum dapat hasil macam sekarang. Saya guna empat cahaya
berbeza,” jelasnya sambil menambah bahawa sejak menggunakan kaedah itu,
aktivitinya mendapat sambutan ramai pelancong.
Tapi pada satu malam, pelancong bertanya mengenai
makanan dan habitat kelip-kelip. Malu kerana gagal menjawab soalan itu,
keesokan harinya Hafiz mencari maklumat mengenai kelip-kelip daripada internet.
Aktiviti Hafiz menarik minat beberapa pakar
kelip-kelip dan alam semulajadi untuk menjalankan kajian dan pemuliharaan.
Hasil kajian dikongsi dengan dia untuk digunakan ketika aktiviti-aktiviti
pelancongannya.
“Saya bernasib baik, pakar-pakar mahu membantu.
Barulah saya sedar bahawa maklumat internet yang dikumpul sebenarnya salah.
Kelip-kelip ‘saya’ jenis lain.
“Mereka banyak mengajar saya tentang kelip-kelip
dan alam semulajadi. Sejak itu saya perkenalkan aktiviti-aktiviti yang
menekankan pendidikan ekopelancongan,” jelasnya.
Bercerita lanjut, Hafiz mengakui dahulunya
aktiviti melihat kelip-kelip ibarat satu pertunjukan.
“Dulu saya bawa pelancong naik bot, kemudian
suluh pokok, goncang dahan sampai kelip-kelip terbang tidak tentu arah.
Nampaklah banyak kelip-kelip. Lepas sejam, kami balik ke jeti,” jelasnya lalu
menyambung bahawa kini aktviti dimulakan dengan sesi taklimat mengenai
kelip-kelip, kawasan paya bakau dan Sungai Cherating.
Sebelum menaiki bot, Hafiz mengingatkan pelancong
agar tidak menggunakan lampu suluh, kamera atau telefon bimbit ketika melihat
kelip-kelip.
“Cahaya biasa tidak sesuai untuk kelip-kelip.
Memang mustahil untuk ambil gambar. Jadi, semua orang hanya perlu relaks dan
‘enjoy’ nanti.
“Jika kelip-kelip hinggap, biarkan sahaja. Jangan
dipicit, jangan dipukul,” pesannya ketika sesi taklimat sebelum aktiviti
bermula pada pukul 7.30 malam.
Antara maklumat yang dikongsi Hafiz adalah
kelip-kelip di Cherating dari spesies Pteroptyx Bearni iaitu jenis
‘non-synchronised’, maksudnya kerlipan tidak selaras, masing-masing berkelip
sendiri tanpa dipengaruhi kelip-kelip lain.
Terdapat lebih 2,000 spesies kelip-kelip di seluruh
dunia dan kebanyakannya di negara-negara tropika, termasuk lapan spesies di
negara ini.
“Cahaya kelip-kelip jantan lebih cerah daripada
betina. Corak kerlipan berbeza berdasarkan tujuan, sama ada untuk mengawan,
memberi amaran dan sebagainya. Mereka juga macam manusia, saling
berkomunikasi,” jelasnya.
Hafiz pernah mencuba teknik sama untuk memanggil
kelip-kelip di beberapa tempat lain, namun tidak berkesan kerana spesies
berbeza mempunyai ‘bahasa’ tersendiri.
“Kelip-kelip hidup kira-kira empat minggu, yang
jantan akan mati beberapa ketika selepas mengawan, manakala betina pula mati
selepas bertelur. Kalau tak dapat pasangan, boleh hidup lama sikit,” katanya
berseloroh.
Setelah mengawan, kelip-kelip betina akan bertelur
di tanah. Kitaran hidup kelip-kelip bermula dengan telur, kemudian menetas
menjadi larva.
Larva mengambil masa beberapa bulan sebelum menjadi
pupa dan kemudiannya menjadi kelip-kelip dewasa. Larva adalah pemangsa yang
makan invertebrata lain seperti siput manakala makanan kelip-kelip adalah
tumbuh-tumbuhan.
Ketika monsun adalah paling sesuai untuk melihat
kelip-kelip, terutamanya waktu puncak di antara pukul 7.30 hingga 8.30 malam di
mana boleh dikatakan 100 peratus kelip-kelip keluar untuk mengawan. Dua jam
kemudian 40 peratus berkurangan dan begitulah seterusnya.
Permintaan terhadap aktiviti-aktiviti di Sungai
Cherating meningkat terutamanya pada hujung minggu, musim cuti sekolah di
Malaysia dan singapura, manakala dari bulan Mei hingga Ogos pula ramai pelancong
Eropah.
Mengakui ada musim-musim permintaan tinggi,
perjalanan bot terpaksa dihadkan kerana kata Hafiz: “Ini bukan soal perniagaan
semata-mata. Tapi penting untuk melindungi dan pelihara alam sekitar.
“Aktiviti perlu dikawal. Kalau terlalu banyak
aktiviti bot, berlaku pencemaran bunyi dan asap,” katanya yang kini mempunyai
10 buah bot.
Terdahulu pada petang itu, saya menyertai aktiviti
menelusuri Sungai Cherating. Antara yang kelihatan termasuk biawak, memerang,
bangau, helang, burung pekaka dan ular.
Terdapat beberapa buah bot kaki pancing menunggu
joran mengena sama ada ikan yu, pari, kerapu, sembilang, todak, belanak dan beberapa
jenis ikan lain di sungai yang sedalam kira-kira lapan meter itu.