Saban malam pada
bulan Ramadan, setiap kali mengerjakan solat tarawih, memang tak tertahan
airmata terkenangkan masa-masa bersama-sama Mak di wad hospital Kepala Batas pada Ramadan 2014. Raya terakhir bersama Mak 2014
Mak yang menghidap
kencing manis dimasukkan ke hospital berikutan serangan hypo. Sudah beberapa
bulan Mak tidak ada selera makan, Lebih memburukkan keadaan, ada kalanya makanan
termuntah keluar sebaik ditelannya.
Maka, untuk kira-kira seminggu Mak dirawat di hospital. Aku berbuka puasa, solat maghrib, solat isyak dan bertarawih di wad Mak. Berikutan keadaannya, Mak ditempatkan di wad berasingan, maka mudah aku melakukan segala ‘urusan peribadi’ umpamanya solat dan ke tandas.
Itulah Ramadan terakhir bersama Mak. Mak meninggal dunia pada November tahun berkenaan. Sejak itu, segalanya berbeza. Sunyi, Sepi. Apatah lagi setiap Ramadan dan Syawal.
Redha, ya sesungguhnya aku redha. Setiap yang hidup pasti ada pengakhirannya.
Namun, sukar dibendung perasaan ini. Kesibukan mencari rezeki di siang hari membuatkan aku rasa masa begitu pantas berlalu. Namun, keheningan di malam hari menjadikan aku sepi, kosong.
Setiap Tarawihku, pasti bercucuran air mata, Betapa tidaknya, aku terkenang Mak, Wad hospital dan Ramadan 2014. Apabila Mak dimasukkan ke hospital, kami adik-beradik yang hanya empat orang masing-masing bergilir-gilir menguruskan Mak. Empat beradik- dua perempuan, dua lelaki, maka kami anak perempuan bergilir-gilir menemani Mak, di wad.
Aturannya adik perempuanku menemani Mak pada waktu malam hingga ke pagi. Keesokan paginya, sebaik saja aku sampai adik balik ke rumah, mengemas dan menguruskan pakaian kotor. Aku menemani Mak sehingga hampir waktu asar. Kemudian aku balik ke rumah untuk menyediakan juadah berbuka dan hidangan sahur. Ada kalanya adik perempuanku pergi semula untuk menemani Mak. Jika ada adik-beradik lain bersama Mak, kami berdua menguruskan hal di rumah.
Menjelang waktu berbuka, aku kembali ke hospital. Aku berbuka, solat maghrib, solat Isyak dan seterusnya bertarawih di wad.
Masih terbayang betapa Mak kerap merenungku. Mak kerap bertanya itu ini mengenai urusan di rumah serta hal-hal harian suami, adik-adik dan cucu-cucunya.
Selain itu Mak suka bercerita pelbagai kisah suka duka masa lampau. Leka aku mendengarnya. Tapi, paling aku runsing apabila Mak diam dan mula termenung. Bila ditanya, Mak hanya menjawab “tak dak apa aih”. Atau ada ketikanya Mak hanya mengeluh, “tak tau bila nak baik sakit ni.”
Ketika itu Mak kelihatan sangat ‘halus’. Tubuhnya ‘kecut’ disebabkan tidak lalu makan. Mak kelihatan lesu, matanya suram.
Selesai berbuka dan solat Maghrib, aku selalunya duduk di sebelah katil Mak sambil membacakan al-Quran sementara menantikan waktu Isyak. Antara setiap dua rakaat tarawih, aku menghampiri dan bertanyakan khabar Mak, memastikan jika Mak perlukan apa-apa. Namun, Mak hanya menguntum senyuman. “Solatlah sampai selesai, mak tak pa,” jawab Mak.
Selesai solat, kami berbual dan bercerita sementara menantikan ketibaan adikku untuk ‘tukar syif’. Begitulah kami adik-beradik untuk kira-kira seminggu ketika Mak menerima rawatan di wad hospital.
Aku juga masih teringatkan waktu menemani Mak di wad Hospital Lam Wah Ee, beberapa tahun sebelum itu kerana masalah
batu dalam buah pinggang Mak.