Sejak larangan merokok dikuatkuasakan pada Jan lalu,
macam-macam kerenah perokok yang dapat kita lihat setiap hari, terutamanya di
gerai-gerai serta restoran-restoran.
Rungutan juga tidak habis-habis kita dengar sama ada daripada
golongan tidak merokok mahupun kalangan perokok, walaupun sudah kira-kira empat
bulan larangan itu berkuat kuasa.
Baru-baru ini, ketika ke restoran mamak berdekatan rumah, saya
dapati ramai remaja melepak di restoran itu sedangkan jam sudah menunjukkan
lebih 12 tengah malam.
Ya, mereka masih berada di luar rumah masing-masing sehingga
lewat malam/awal pagi sedangkan jika dilihat wajah masing-masing, mereka itu masih
dalam belasan tahun dan masih bersekolah.
Lebih menjengkelkan apabila melihat hampir kesemua remaja itu
merokok.
“Larangan merokok sudah dikuatkuasakan 1 Jan lepas, perintah
berkurung remaja bila lagi?
“Ada larangan merokok pun macam tak ada bezanya... pihak
restoran meletak meja di luar untuk mereka melepak. Itu pun tak sampai tiga
meter dari kaki lima restoran,” kata saya melepaskan geram.
Boleh dikatakan setiap malam, begitu ramai remaja melepak di restoran
itu. Begitu juag beberapa restoran lain yang berdekatan. Bayangkanlah, jika
purata 15 remaja berada di setiap restoran itu, jumlahnya hampir 100 orang.
Hati tertanya-tanya, apakah ibu bapa mereka tidak peduli akan
keberadaan anak-anak mereka? Sambil
menunggu teh tarik dan roti canai yang dipesan, saya memerhatikan gelagat
kumpulan remaja di situ.
Masing-masing khusyuk dengan telefon bimbit, jarang sekali
mereka berbual. Sesekali kedengaran ada antara remaja itu tiba-tiba menyumpah
seranah, malah mencarut - hati berdetak, mungkin kalah permainan dalam talian.
Di hadapan mereka pula terdapat minuman dalam plastik yang
diikat tepi dan diletakkan di dalam mangkuk.
Sebenarnya, sudah lama saya melihat minuman dihidang sebegitu
namun baru malam itu berkesempatan bertanya pada pekerja restoran.
“Budak-budak beli bungkus, beza 20 atau 30 sen saja, air dalam
plastik lebih banyak dari gelas. Order satu bungkus, lepak satu malam,” kata
pekerja restoran itu.
Setap kali melewati kawasan pusat bandar itu, saya pasti akan
melihat setiap restoran di situ. Nyata, kumpulan pelanggan di restoran-restoran
itu berbeza pada waktu-waktu tertentu.
Ramai yang berkeluarga, golongan belia dan ‘pak cik-pak cik’
mengunjungi restoran-restoran itu di antara pukul 8 hingga 11 malam.
Semakin lewat malam, ‘geng’ remaja mula mengisi kerusi-kerusi
di restoran-restoran itu. Lebih ramai yang berbuat demikian pada hujung minggu.
Tidakkah mereka bersekolah keesokannya? Tidakkah ibu bapa
remaja itu memarahi mereka bila balik ke rumah nanti? Banyak persoalan yang
menerjah fikiran saya.
Teringat ketika zaman remaja, saya dan adik-adik dididik
supaya pulang ke rumah pada waktu makan dan waktu solat.
Jika keluar bermain pada waktu pagi, kami mesti balik ke rumah
sebelum tengah hari. Jika keluar selepas waktu Asar, mesti pulang sebelum waktu
Maghrib. Kami tidak dibenarkan keluar pada waktu malam.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa zaman mendidik sebegitu
sudah berlalu kerana masa dan keadaan sudah berubah. Jadi, bagaimanakah cara
mendidik anak yang sewajarnya yang sesuai dengan masa kini? Apakah dengan
membiarkan mereka berpeleseran dan melepak sehingga awal pagi?
Tidak lama dulu heboh tentang cadangan supaya perintah
berkurung dilaksanakan pada waktu malam bagi remaja bawah umur.
Banyak pihak berkongsi pendapat mengenai cadangan itu. Ada
yang menyokong, ada juga sebaliknya.
Di media sosial, kebanyakan netizen bersetuju dengan cadangan
itu. Malah, pungutan suara akaun The Reporter laman Facebook pada 17 Jan lepas
mendapati sebanyak 97 peratus bersetuju supaya perintah berkurung untuk remaja
di bawah 18 tahun selepas jam 12 malam dilaksanakan manakala hanya 3 peratus
yang tidak bersetuju.
Hakikatnya, cadangan itu bukanlah perkara baharu malah pernah
disebut susulan kemalangan di Johor Bahru pada 3 pagi pada Februari tahun lepas
apabila sebuah kereta merempuh sekumpulan 16 remaja yang sedang berbasikal
menyebabkan lapan daripada mereka maut.
Malah, beberapa persatuan ibu bapa dan pertubuhan bukan
kerajaan turut mencadangkannya sejak beberapa tahun lalu.
Sehingga kini, persoalan berkaitan perintah berkurung itu
umpama ‘tenggelam timbul’ tanpa sebarang kata putus.
Hakikatnya, tujuh negara iaitu Amerika Syarikat, Australia,
Thailand, Jerman, Britain, Iceland dan United Kingdom sudah menjadikan perintah
berkurung ke atas remaja dan kanak-kanak sebahagian daripada peruntukan
undang-undang negara masing-masing. Iceland mendahului senarai remaja paling
berkelakuan baik di Eropah.
Kebanyakan negara itu menetapkan perintah berkurung melibatkan
remaja berusia 16 tahun ke bawah tidak dibenarkan keluar rumah melebihi jam 10
malam manakala remaja bawah 18 tahun pula dilarang keluar melebihi 12 malam.
Akta Perlindungan Kanak-kanak Iceland 2002 memperuntukkan
kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah tidak boleh berada di luar rumah
selepas 8 malam melainkan ditemani orang dewasa.
Remaja berusia 13 hingga 16 tahun pula tidak boleh berada di
luar rumah selepas 10 malam melainkan mereka dalam perjalanan pulang daripada
program anjuran sekolah, organisasi sukan atau kelab belia.
Remaja yang melanggar perintah berkurung itu akan dibawa ke
balai polis sebelum ibu bapa perlu membawa mereka pulang.
Walaupun langkah melaksanakan perintah berkurung untuk remaja
itu menampakkan hasil di negara-negara berkenaan, sesetengah pihak di Malaysia
masih tidak bersetuju dengan cadangan melaksanakan peraturan itu.
Ada yang berpendapat perintah berkurung melanggar hak asasi,
kebebasan dan pergerakan kanak-kanak. Tidak kurang juga yang berkata ia tidak
akan memberi kesan kerana walaupun di rumah, remaja tidak akan tidur awal
kerana masih boleh ‘bebas’ dan aktif di media sosial.
Yang pasti, sama ada menyokong atau sebaliknya, ramai
sependapat bahawa ibu bapa perlu mampu mendidik, mengawal, mendisiplin,
memantau aktiviti dan keberadaan anak masing-masing.
Namun, siapa sebenarnya yang bertanggungjawab terhadap
perlakuan mereka? Ibu bapa, guru, kaum keluarga, masyarakat, pihak berkuasa
atau kerajaan?
Jika semua pihak lebih prihatin dan melaksanakan tanggungjawab
mendidik remaja kita, mungkin negara ini tidak memerlukan perintah berkurung
untuk remaja.
Tetapi jika semua pihak terlalu 'sibuk' atau tidak mahu
dikatakan 'menyibuk', maka wajar dipertimbangkan cadangan berkenaan.