(Artikel ini disiarkan oleh Bernama)
Balik kampung sudah menjadi tradisi
rakyat Malaysia setiap kali tiba musim perayaan utama seperti Aidilfitri,
Aidiladha, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas.
Umat
Islam yang akan menyambut Aidilfitri, dijangka pada Jumaat ini, juga sudah
mulai berpusu-pusu pulang ke kampung halaman, ingin bertemu sanak-saudara dan
meraikan hari bahagia Syawal.
Ada
warga kota yang sudah beberapa generasi tinggal di bandar-bandar besar dan
sudah tidak ada keluarga terdekat mahupun rumah di kampung, tetapi masih pulang
ke kampung untuk beraya. Justeru, bilik-bilik hotel menjadi pilihan untuk
bermalam.
Penulis
membuat tinjauan di beberapa buah hotel untuk mengetahui sama ada menginap di
hotel semasa musim perayaan sudah menjadi trend kepada warga kota yang pulang
berhari raya di kampung.
FAKTOR KESELESAAN
"Setiap
Aidilfitri dan Aidiladha hotel kami sibuk dengan warga kota yang balik
beraya," kata Pengarah Pemasaran dan Jualan, Hotel Grand River View di
Kota Bharu, Kelantan, Raja Rusmin Datuk Raja Mahmud.
"Ada
yang tinggal di hotel kerana keselesaan bilik berhawa dingin dan air panas di
bilik air kerana terbiasa begitu di bandar," katanya.
Berfikiran positif, ada yang terpaksa
tinggal di hotel kerana ramai sanak-saudara pulang beraya serentak, membuatkan
mereka terpaksa menyewa hotel.
Menurut Raja Rusmin, kadar penghunian pada
musim raya boleh mencapai 60 ke 70 peratus, berbanding hari biasa kira-kira 50
peratus sahaja manakala penuh semasa musim cuti sekolah.
Sementara itu, Pengurus Besar Primula
Beach Hotel, di Kuala Terengganu, Terengganu, Mazuki Husin memberitahu sejak
enam tahun lalu lebih ramai warga kota yang balik beraya di kampung tetapi
bermalam di hotel.
Mengakui keselesaan sebagai faktor utama,
beliau berkata: "Lebih-lebih lagi jika rumah di kampung tiada akses
Internet atau anak-anak tidak selesa dengan saudara-mara yang ramai."
Lazimnya, keluarga berkenaan akan mendaftar
masuk sehari atau dua hari sebelum hari raya dan keluar dua hari selepas raya.
"Setiap pagi mereka akan balik ke
kampung dan hanya kembali (ke hotel) pada waktu malam," kata Marzuki.
ADA SAUDARA, TIADA RUMAH
Di
Pulau Pinang, Pengarah Operasi Boustead Hotel & Resort Sdn Bhd Datuk
Mokhtar Khir berkata The Royale Bintang Penang, yang dikendalikannya, memang
penuh pada musim raya kerana "orang Pulau Pinang balik beraya".
"Mereka tinggal di hotel dan selalunya
bercuti agak lama. Selepas beraya dengan sanak-saudara mereka akan makan angin
dan buat aktiviti sendiri," katanya.
Turut mendapat sambutan ketika musim
raya adalah Homestay Lonek, di Batu Kikir, Negeri Sembilan.
Pengerusi Homestay Badariah Ahmad
memberitahu Bernama rumah-rumah di Homestay Lonek ditempah warga kota yang
pulang bercuti di kampung itu.
"Kebanyakan mereka sudah tidak punya ibu
bapa mahupun rumah keluarga. Namun kerana mahu beraya di kampung, mereka sewa
homestay agar tidak menyusahkan sanak-saudara," jelasnya.
eliau memuji ibu bapa yang membawa
anak-anak pulang beraya di kampung dan berharap tradisi itu tidak akan luput
ditelan zaman.
Umumnya hubungan kekeluargaan masih
menjadi keutamaan dan penting bagi kebanyakan rakyat Malaysia walaupun zaman
dan cara hidup telah berubah.
SENTIASA BERKASIH SAYANG
Tidakkah
tindakan bermalam di hotel boleh mengundang rasa kecil hati keluarga?
Menjawab
persoalan itu, tokoh motivasi dan inspirasi Prof Dr Muhaya Mohamad berkata
hubungan dalam keluarga hendaklah disaluti dengan emosi kasih sayang, memahami
serta berlapang dada dan bukannya diselubungi dengki, marah atau beremosi
negatif.
"Maknanya jika hubungan dengan ibu bapa
di kampung selalu baik, sentiasa berkasih sayang dan prihatin, memberi wang
bulanan, sering mengunjungi atau sekurang-kurangnya menelefon mereka, pastinya
mereka akan faham (jika seseorang itu bermalam di hotel)," jelas beliau.
Dr
Muhaya mengakui kewajaran tinggal di hotel sekiranya rumah ibu bapa tidak cukup
ruang untuk menampung kepulangan anggota keluarga serta sanak-saudara terdekat
dalam satu masa.
"Bukan saja masalah untuk tidur,
malah nak jaga aurat, beribadat dan gunakan bilik air pun susah. Tentu ibu bapa
akan faham jika tinggal di hotel kerana memudahkan adik-beradik lain tinggal di
rumah," jelasnya.
Namun, beliau juga meminta ibu bapa
berbincang dengan anak-anak sebelum pulang ke kampung. "Lupakan katil
empuk, hawa dingin dan keselesaan rumah sendiri untuk seketika. Berkorbanlah
sedikit demi membahagiakan hati nenek dan datuk, untuk beberapa hari sahaja,"
nasihat Dr Muhaya kepada ibu bapa untuk memujuk anak-anak.
Meraikan hari Lebaran dengan balik
kampung bukan hanya untuk makan masakan nenek, atau duit raya atau bergembira
sahaja, tetapi lebih daripada itu adalah untuk mengeratkan silaturahim dan
bersedekah sesama adik-beradik.
"Sewajarnya anak-anak menyediakan kemudahan
dan keselesaan untuk ibu bapa di kampung. Ingatlah betapa mereka cuba
memberikan keselesaan ketika memelihara kita semasa kecil dulu," katanya.
Mengajak umat Islam supaya menjadikan
Aidilfitri yang lebih bermakna dengan mengetepikan seketika dunia maya, beliau
berkata di kesempatan waktu itu tumpukanlah kepada realiti sekeling untuk
saling berinteraksi, bertanya khabar atau melakukan aktiviti-aktiviti bersama
keluarga.
"Gadget
(telekomunikasi) digunakan untuk bergambar masukkan dalam kumpulan WhatsApp
bagi ahli keluarga yang tidak balik bercuti di kampung. Itu saya setuju,"
ujarnya.
BAIK PULIH RUMAH KAMPUNG
Sementara
itu, pensyarah kanan Jabatan Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah Universiti
Kebangsaan Malaysia Dr Fadlan Mohd Othman mengakui memang pelik jika balik
kampung tetapi tinggal di hotel, apatah lagi ketika Hari Raya.
"Bagaimanapun
kita kena tengok isu ini dalam aspek positif dan negatif," katanya.
Tidak menafikan tindakan itu kurang sopan dan
mementingkan diri, beliau menegaskan, ibu bapa tidak sewajarnya mengikut
kehendak anak-anak yang jijik untuk tinggal di rumah kampung yang hanya
berlantaikan simen atau kayu.
"Sesebuah keluarga mungkin perlu menyewa
dua atau tiga bilik hotel untuk sekurang-kurangnya dua malam. Mereka sepatutnya
tinggal di rumah kampung kerana ia hanya untuk beberapa hari saja,"
katanya.
Beliau berkata adalah lebih
menguntungkan jika kos sewa hotel agak tinggi itu digunakan untuk membaik pulih
rumah kampung atau menyediakan kemudahan seperti memasang pendingin hawa atau
menaik taraf bilik air supaya lebih selesa pada musim raya akan datang.
Bersetuju jika terpaksa menyewa bilik
hotel disebabkan rumah di kampung kecil untuk menampung kehadiran adik-beradik
dan sanak-saudara serentak, Fadlan berkata mereka hendaklah memastikan lebih
banyak masa diluangkan bersama keluarga.
Beliau memuji warga kota yang masih pulang ke
kampung walaupun ibu bapa sudah meninggal dunia malah sanggup menyewa tempat
penginapan semata-mata mahu beraya dengan saudara-mara.
"Eloklah dipelihara silaturrahim,
berlapang dada dan saling bermaaf-maafan sempena Hari Raya," kata Fadlan,
yang juga Yang Dipertua Himpunan Ulama Muda Malaysia.