Minum Teh Lebih Baik
Daripada Air Kosong?
Rata-rata, umum mengetahui dan
sentiasa diberitahu bahawa amalan meminum air kosong/putih adalah yang terbaik.
Lain pula kisahnya penemuan para penyelidik King’s College, London, UK, tidak
lama dulu.
Mereka mendapati, jika seseorang itu
meminum sekurang-kurangnya tiga cawan teh atau lebih setiap hari, tahap
kesihatannya boleh meningkatkan berbanding apabila hanya minum air
kosong/putih.
Kajian tersebut, antara lain
mendapati, kepercayaan bahawa teh menyahhidrat cairan/bendalir dalam tubuh
adalah tidak benar, kerana hakikatnya teh menghidratkan tubuh sepertimana air
kosong/putih. Teh bukan saja menghidrat semula tubuh, malah melindungi kita
daripada risiko penyakit jantung serta kanser.
Lebih daripada itu, amalan meminum teh sekurang-kurangnya tiga cawan teh
atau lebih setiap hari boleh membantu kita menjaga kesihatan gigi dan tulang.
Para penyelidik terlibat yang tidak
dapat menjelaskan secara terperinci mengenai penemuan tersebut bagaimanapun
percaya bahawa ianya adalah kerana kandungan flavaniod, sejenis antioksidan
polyphenol yang banyak ditemukan dalam buah-buahan, sayuran dan rempah-rempah
termasuk teh. Flavonoid berperanan membantu menghalang kerosakan sel.
Ketua penyelidik, Dr Carrie Ruxton,
seorang pakar pemakanan, berkata bahawa teh adalah lebih baik daripada air
kosong/putih kerana air hanya menghidratkan semula tubuh, manakala teh
menghidratkan semula serta mengandungi antioksidan yang diperlukan tubuh.
Dengan teh, kita memperoleh dua faedah.
Dalam satu temu bual dengan BBC, Dr.
Ruxton berkata, “Kajian ke atas kafeina mendapati ianya mengandungi dos
penyahhidrat yang tinggi justeru setiap individu yang meminum minum berkafein menganggap
ianya menyahhidrat tubuh. Tetapi,
hakikatnya, jika seseorang itu telah minum secawan teh atau kopi pekat,
cairan/bendalir dalam tubuhnya tetap bertambah. Malah, secawan teh mengandungi
flourida, yang sememangnya baik untuk gigi.
Kumpulan penyelidik tersebut
mendapati, orang ramai di UK semakin kurang meminum teh berbanding sebelumnya - mungkin kerana
kebanyakan mereka lebih memilih minuman ringan. Golongan yang banyak minum teh
di UK adalah mereka yang berusia lebih 40 tahun.
Hasil menyeluruh kajian tersebut
disiarkan dalam The European Journal of Clinical Nutrition.
Gemar
Minum Teh Penyebab Kanser Prostat?
Banyak penyelidikan telah membuktikan
teh adalah baik untuk kesihatan. Bagaimanapun, ada pula kajian yang menyatakan
bahawa lelaki yang banyak minum teh berisiko tinggi menderita gangguan prostat.
Kajian oleh sekumpulan penyelidik dari
Glasgow University itu dijalankan ke atas lebih 6,000 sukarelawan dengan
memantau tahap kesihatan mereka selama 37 tahun. Kajian tersebut mendapati
lelaki yang minum lebih daripada tujuh cawan teh setiap hari mempunyai 50
peratus lebih tinggi risiko menghidap kanser prostat berbanding lelaki yang
minum secara sederhana atau tidak minum teh langsung.
Para penyelidik bagaimanapun tidak
dapat memastikan samada teh adalah antara
punca meningkatnya risiko kanser prostat atau kerana lazimnya umur
mereka yang minum teh adalah lebih panjang, justeru penyakit kanser prostat
kerap berlaku apabila mereka lebih berusia.
Kanser prostat adalah jenis kanser
yang kerap berlaku di kalangan lelaki di Scotland dan diagnosis penyakit ini
meningkat sebanyak 7.4 persen di antara tahun 2000 dan 2010.
Kajian yang bermula pada tahun 1970
itu melibatkan seramai 6016 sukarelawan berumur di antara 21 hingga 75 tahun. Mereka
diminta menjawab soalan-soalan mengenai tabiat minum teh, kopi, alkohol,
merokok dan kesihatan umum, dan seterusnya diminta menghadiri pemeriksaan
kesihatan.
Hampir suku/seperempat daripada mereka
adalah peminum tegar teh. Daripada jumlah itu pula, 6.4 peratus didiagnos
menghidap kanser prostat sepanjang tempoh penyelidikan yang memakan masa selama
37 tahun itu.
Mereka juga mendapati bahawa lelaki
yang minum lebih daripada 7 cawan teh setiap hari mempunyai risiko lebih tinggi
menghidap kanser prostat berbanding lelaki yang tidak minum atau minum kurang
daripada 4 cawan sehari.
“Kami tidak pasti sama ada teh
merupkan faktor risiko atau ianya kerana mereka yang minum teh selalunya lebih
sihat dan boleh hidup lebih lama di mana pada usia tersebut lebih berisiko
menghidap kanser prostat,” menurut Dr. Kashif Shafique, pengersi kumpulan
penyelidik dari Glasgow University Institute of Health and Wellbeing itu.
“Kami mendapati para peminum tegar teh
jarang sekali menghadapi masalah berat badan, tidak minum alcohol dan mempunyai
tahap kolesterol yang baik,” tambah Shafique yang menerbitkan penemuan tersebut
dalam jurnal Nutrition and Cancer.
Sementara itu, Dr Kate Holmes, Ketua
penyelidikan di Prostate Cancer Charity, berkata terdapat kelemahan dalam
penyelidikan itu kerana ia tidak mengambil kira latar belakang sejarah keluarga
atau unsur-unsur makanan lain selain tabiat meminum teh, kopi dan alkohol.
“Oleh itu kami tidak mahu sesiapapun
rasa risau bahawa dengan meminum teh secara sederhana sebagai sebahagian amalan
pemakanan sihat tidak semestinya meningkatkan risiko menghidap kanser prostat,”
katanya.
Nota: Kanser prostat atau Barah
prostat adalah sejenis kanser yang berkembang di dalam prostat iaitu kelenjar
dalam sistem pembiakan lelaki.
PERSOALANNYA…TEH YANG
MANA SATU?
Tidak mudah untuk
memilih the sekarang ni. Bukan hanya kerana ia didatangkan dengan banyak jenama
berbeza malah pelbagai jenis dan bermacam-macam sumber
Antara jenis-jenis teh:
- Teh Hijau
- Teh Herba
- Teh Hitam
- Teh Putih
- Teh Kuning
- Teh Berperisa
- Teh Oolong
- Teh Rempah
- Teh Bunga
Mungkin itu hanyalah
sebahagian. Setiap darpadanya pula
mempunyai khasiat berbeza. Teh pula disediakan dengan bermacam-macam cara. Justeru,
sewajarnya kita tahu membezakan antara teh yang menyihatkan atau sebaliknya.
Begitu juga cara penyediaannya.