Monday, 31 July 2023

MINAT, KERJA & CARI REZEKI

    Walaupun pernah bertugas sebagai wartawan/editor, berniaga bukanlah sesuatu yang 100 peratus baharu bagi saya. Ketika masih bekerja dulu, malah sejak umur 19 tahun, saya sudah berniaga sambil-sambilan. Antara yang dijual termasuk kuih-muih seperti creampuff, karipap, apple pie, bread pudding, kuih ketayap dan beberapa jenis kuih lagi, beberapa jenis kek antaranya kek carrot, kek marble, kek kopi, nasi lemak pandan, mi/bihun/nasi/ kuetiaw goreng ...juga belacan dan ikan masin yang dibawa dari Tanjung Dawai. 

Laksa Sarawak

   Beberapa tahun lalu, ketika masih bekerja...saya juga berjual sambilan. Mengikut tempahan rakan sekerja. Maka, setelah tidak lagi bekerja, berniagalah saya secara sepenuh masa.

    Ada kalanya berniaga 'ilmu' kewartawanan, ada kalanya menjual batik di mall dan ada pula masanya berniaga makanan apabila menerima tempahan.

    Kini dah setahun balik menetap di kampung, saya juga menerima tempahan beberapa jenis makanan seperti laksa Sarawak, mi kari nyonya, mi kolok, karipap, ketupat, kek carrot  dan beberapa jenis kuih lain. Walaupun tempahan tidak sebanyak sewaktu di KL, Alhamdulillah rezeki seadanya.

    Bila kerja sendiri ni...biasalah..ada masa sibuk teramat sibuk, ada kalanya santai hingga naik binggung. Almaklumlah...dah biasa bekerja. 

Karipap

    Menjual batik di mall pun seronok, ada kalanya memenatkan, ada kalanya tak sedar masa berlalu...ini semestinya di kala ramai pelanggan 'memborong' sehingga hampir habis stok. 

   Bekerja sambil berniaga, berniaga di mall, berniaga dari rumah, berniaga sebagai vendor makanan...banyak yang dipelajari. Banyak juga cabaran  yang tersendiri.   

    Menjual makanan memang mencabar...terutamanya di kala sekarang. Harga barang semuanya semakin mencanak. Itu ramai yang sedar. Tapi, dalam pada itu...masih ramai yang tidak dapat menerima hakikat bahawa harga makanan tersedia juga perlu naik.

     Itu baru cabaran ketika menjual, cabaran penyediaan makanan sebenarnya lebih getiur.     Setiap kali menyediakan makanan, saya sentiasa risau,,,,sangat berhati-hati…memastikan kebersihan diri, makanan dan sekitar.

   

Ketupat
 Tidak pernah tak risau jika ada ‘anasir’ yang tidak diingini termasuk ke dalam makanan. Risau akan jangka hayat makanan itu jika terdedah pada suhu bilik terlalu lama terutamanya jika cuaca agak panas. Risau, makanan tercemar atau basi jika pelanggan menyimpannya terlalu lama untuk dimakan kemudian.          Risau jika harga yang ditetapkan akan dianggap mahal...macam-macamlah yang difikirkan. Banyak aspek yang sentiasa berat di kotak fikiran.

    Teringat masa hayat Mak (arwah), saya pernah bersama-sama adik membuat penghantaran kuih karas, kuih ros & kuih bangkit yang ditempah rakan-rakan di Kuala Lumpur ketika musim raya.

    Ya...pagi-pagi mak buat kuih dangai, ketupat dan cucur jawa untuk letak di gerai tak jauh dari rumah. Selain itu mak juga buat kuih karas, kuih ros/goyang/sarang tebuan dan kuih bangkit untuk jualan...tempahan. Mak paling sibuk setiap 'musim kenduri kahwin' dan musim raya.

    Sebelum itu mak dan ayah menoreh getah untuk menyara kami empat beradik. Auah juga pernah berniaga pakaian dari rumah ke rumah, kampung ke kampung.