Tuesday, 18 May 2021

RAMADAN AKHIR BONDA

 

Saban malam pada bulan Ramadan, setiap kali mengerjakan solat tarawih, memang tak tertahan airmata terkenangkan masa-masa bersama-sama bonda di wad hospital pada Ramadan 2014. 

Bonda yang menghidap kencing manis dimasukkan ke hospital berikutan serangan hypo. Sudah beberapa bulan bonda tidak ada selera makan, Lebih memburukkan keadaan, ada kalanya makanan termuntah keluar sebaik ditelannya. 

Maka, untuk kira-kira seminggu bonda dirawat di hospital. Aku berbuka puasa, solat maghrib, solat isyak dan bertarawih di wad bonda. Berikutan keadaannya, bonda ditempatkan di wad berasingan, maka mudah aku melakukan segala ‘urusan peribadi’ umpamanya solat dan ke tandas. 

Itulah Ramadan terakhir bersama bonda. Bonda meninggal dunia pada November tahun berkenaan. Sejak itu, segalanya berbeza. Sunyi, Sepi. Apatah lagi setiap Ramadan dan Syawal. 

Redha, ya sesungguhnya aku redha.  

Namun, sukar dibendung perasaan ini. Kesibukan mencari rezeki di siang hari membuatkan aku rasa masa begitu pantas berlalu. Namun, keheningan di malam hari menjadikan aku sepi, kosong.

Setiap Tarawihku, pasti bercucuran air mata, Betapa tidaknya, aku terkenang bonda, Wad hospital dan Ramadan 2014.  Apabila bonda dimasukkan ke hospital, kami adik-beradik yang hanya empat orang masing-masing bergilir-gilir menguruskan bonda. Empat beradik- dua perempuan, dua lelaki, maka kami anak perempuan bergilir-gilir menemani bonda, di wad.

 Aturannya adik perempuanku menemani bonda pada waktu malam hingga ke pagi. Keesokan paginya, sebaik saja aku sampai adik balik ke rumah, mengemas dan menguruskan pakaian kotor.  Aku menemani bonda sehingga hampir waktu asar. Kemudian aku  balik ke rumah untuk menyediakan juadah berbuka dan hidangan sahur. Ada kalanya adik perempuanku pergi semula untuk menemani bonda. Jika ada adik-beradik lain bersama bonda, kami berdua menguruskan hal di rumah.

 Menjelang waktu berbuka, aku kembali ke hospital. Aku berbuka, solat maghrib, solat Isyak dan seterusnya bertarawih di wad.

Masih terbayang betapa bonda kerap merenungku. Bonda kerap bertanya itu ini mengenai urusan di rumah serta hal-hal harian suami, adik-adik dan cucu-cucunya.

Selain itu bonda suka bercerita pelbagai kisah suka duka masa lampau. Leka aku mendengarnya. Tapi, paling aku runsing apabila bonda diam dan mula termenung. Bila ditanya, bonda hanya menjawab “tak dak apa aih”. Atau ada ketikanya bonda hanya mengeluh, “tak tau bila nak baik sakit ni.”

Ketika itu bonda kelihatan sangat ‘halus’. Tubuhnya ‘kecut’ disebabkan tidak lalu makan. Bonda kelihatan lesu, matanya suram.

Selesai berbuka dan solat Maghrib, aku selalunya duduk di sebelah katil bonda sambil membacakan al-Quran sementara menantikan waktu Isyak. Antara setiap dua rakaat tarawih, aku menghampiri dan bertanyakan khabar bonda, memastikan jika bonda perlukan apa-apa. Namun, bonda hanya menguntum senyuman. “Solatlah sampai selesai, mak tak pa,” jawab bonda.

Selesai solat, kami berbual dan bercerita sementara menantikan ketibaan adikku untuk ‘tukar syif’. Begitulah kami adik-beradik untuk kira-kira seminggu ketika bonda menerima rawatan di wad hospital.