“Jom,”…setiap kali
masuk waktu solat, Aliza akan datang ke booth ku untuk kami bersama-sama pergi
ke surau.
Lot 10, Kuala Lumpur bukan
sahaja menjadi tempat aku memperoleh pengajaran dan menimba pengalaman pertama
berniaga di pusat beli-belah, malah banyak menyingkap kenangan lalu terutamanya
ketika tinggal di asrama dan bersekolah di Sekolah Menengah Perempuan St.
George, Pulau Pinang.
Persahabatan dengan
Aliza bukanlah sehari dua, sebulan dua atau setahun dua. Malah, kami belajar di
sekolah yang sama sejak berusia 7 tahun, bermula Darjah 1 di Sekolah Rendah
Kepala Batas (kini SRK Hashim Awang), Kepala Batas, Seberang Perai Pulau Pinang.
Namun, “Jom” yang
paling aku ingati adalah ketika kami di sekolah menengah. “Jom” ke kelas, “Jom”
ke kantin, dan “Jom” yang paling aku ingati adalah setiap kali pergi makan
“Laksa maknya” (Nyonya pengusaha kantin asrama). Bila dikenang semula…memang tak
dapat aku bayangkan, macam mana kami boleh masing-masing, habiskan dua mangkuk
laksa ketika itu…
Teringat…pernah Aliza
ikut aku balik ke kampung pada hujung minggu. Disebabkan kami berdua suka makan
laksa…maka bonda menyediakan laksa yang mana kuahnya dibuat daripada sardin
dalam tin. Maklumlah, ketika itu keluarga aku belum mampu membeli peti
sejuk…maka bonda menyediakan makanan dengan menggunakan bahan-bahan yang sedia
ada. Alhamdulillah…
Aku juga tidak pernah
lupa keenakan sambal tumis yang selalu dibekalkan oleh bonda Aliza. (Semoga roh
Bonda dan ayahanda kami ditempatkan dalam kalangan orang beriman).
Tamat sekolah
menengah, kami membawa haluan masing-masing…tiada hubungan apatah lagi bertemu.
Sehinggalah suatu hari (mungkin 10 tahun kemudian) kami terserempak di kawasan
Bukit Bintang. Kami sempat saling bertanya khabar…di mana aku mengetahui bahawa
Aliza menyambung pelajaran setelah tamat sekolah. Tidak sempat berbual
panjang…masing-masing dalam keadaan ‘rushing’. Ketika itu aku sedang
bertugas -bekerja sebagai wartawan
Lebih 10 tahun
kemudian, sekumpulan pelawat mengunjungi pejabat tempat aku bekerja. Kami
diperkenalkan, berjabat salam bagaikan orang asing. Masing-masing saling
‘tidak mengenali’. Aku yang sibuk ‘mengejar deadline’ terus masuk ke
bilikku untuk menyambung kerja.
Namun, tiba-tiba aku
sedar bahawa seseorang yang bernama Aliza dalam kalangan pelawat itu, yang
diperkenalkan adalah kawan sekolah aku. Alhamdulillah…aku bergegas mencari
‘kumpulan pelawat’ tadi dan akhirnya ‘persahabatan’ kami bertaut semula.
Tenggelam timbul tenggelam timbul…bak kata orang…kami saling berhubung.
Perlu
diakui…kewujudan media sosial bukan sahaja memudahkan perhubungan malah
mengeratkan lagi. Bukan sahaja antara aku dan Aliza, malah dengan kawan-kawan
lain.
Mengetahui bahawa aku
mula berniaga, Aliza yang juga berniaga dengan membuka booth di sana sini
,terus menggalakkan dan memberi semangat selain membantu memberi pelbagai
maklumat berkaitan. Alhamdulillah…semoga dimurahkan rezeki Aliza.
Pengalaman pertama
menjual produkku di pusat beli-belah (Lot 10) banyak mengajar aku dan suami -
bukan sahaja mengenai produk kami, produk orang lain malah mengenai selok-belok
berniaga di tempat-tempat seumpama itu, mengenai pelanggan yang pelbagai
kerenah dan cita rasa.
Kami sangat bersyukur
kepada Allah kerana Aliza banyak membantu. Aliza mengalakkan kami dalam
apa yang kami usahakan dan selalu memberi tunjuk ajar ‘berniaga di booth’.
Produk kami berbeza,
target market berbeza…maka jarang sekali dapat berniaga di tempat yang sama.
Sesungguhnya…aku sentiasa berharap sesekali kami akan berniaga di tempat yang
sama.