Thursday, 8 August 2019

KENANGAN MEMBESAR DI KEPALA BATAS


Setiap kali tibanya musim perayaan sama ada Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas malah Hari kebangsaan, saya pasti teringatkan waktu zaman kanak-kanak. Terbayang wajah sahabat ayah antaranya Tauke Bak Haw, Tauke Seng Huat dan Tauke Weng Weng, juga rakan-rakan emak seperti Makcik Ang Ngau dan Nyonya Tam.

Barangan dapur kami dibeli dari kedai Tauke Bak Haw, keperluan sekolah dari kedai Seng Huat dan perabut pula dari kedai Weng-Weng.
Kenangan sering menerjah dengan wajah-wajah Tande Maniam (Mandor estet), Makcik Azee dan Makcik Shadow (dua wanita berbangsa India masing-masing beragama Hindu dan Kristian), juga Makcik Chombi, Kak Rosnah dan lain-lain – kesemuanya menoreh bersama-sama emak.
Ketika Tahun Baru Cina, emak dan ayah akan membawa balik kuih bakul, kuih bangkit, bepang, kuaci, kacang serta limau mandarin.
Apabila sambutan Deepavali pula, rakan-rakan sekerja emak akan memberikan pelbagai manisan dan kuih-muih tradisional India seperti urundai, jillebhi dan ladhu.
Tiba pula Hari Raya, emak pasti sibuk membungkus pelbagai jenis kuih untuk diberikan kepada rakan-rakannya. Begitu juga yang sama-sama menyambut Hari Raya, meriahlah pula bertukar-tukar juadah.
Mengimbau masa lalu, emak dan rakan-rakannya selalu makan bersama ketika waktu rehat pada hari kerja (menoreh). Setiap hari, kira-kira pada pukul 10 pagi, kelihatan emak dan sahabat-sahabatnya itu duduk menikmati bekalan masing-masing sambil bercerita. Sesekali riuh tawa mereka memecah keheningan ladang getah yang luas itu.
Memulakan kerja pada pukul 5 pagi, emak dan sahabat-sahabatnya biasanya habis menoreh kira-kira 500 batang pokok getah menjelang 10 pagi, Mereka lalu berehat sebentar sementara menantikan susu getah memenuhi cawannya.
Selesai makan, mereka akan berjalan sekitar kawasan masing-masing sambil membersihkan laluan atau merawat pokok getah.
Itulah rutin harian emak, dan rakan-rakannya. Ada kalanya mandor ladang, Tande Maniam yang meronda ladang akan singgah berbual dengan mereka.
Mereka adalah antara ratusan penoreh getah di Ladang Bertam yang luasnya ribuan hektar di Seberang Perai Utara.
Di ladang itulah penulis ‘belajar’ makan tose, capati, wade dan kuih-muih yang dihidangkan ketika Deepavali.
Persahabatan mereka bukan sekadar waktu kerja. Ada kalanya mereka singgah di rumah mana-mana rakan apabila hujung minggu atau kebetulan berada di kawasan berkenaan. Saling menjenguk jika ada yang kurang sihat.
Ayah juga penoreh getah. Tapi ayah menoreh di sebuah ladang kecil milik tauke Bak Haw, yang juga pemilik kedai runcit di pekan Kepala Batas. Barangan keperluan dapur dibeli dari kedai itu.
Ayah punya ramai kenalan berbangsa India dan Cina, malah memahami dan boleh bertutur ayat-ayat mudah Tamil dan Hokkien. Jadi tidak hairanlah jika ayah punyai ramai kenalan kaum Cina dan India di pekan kecil itu yang tidak jauh dari kampung kami.
Di kampung pula, peniaga kain yang kami panggil Apek Kelentong akan datang bertemu pelanggannya setiap bulan, dan lebih kerap ketika musim menuai padi. (Kelentong adalah alat seperti gendang kecil pada satu kayu yang digunakan untuk menjaja, bukan maksudnya bohong atau menipu). Ramai pelanggannya membayar barangan yang dibeli secara ansuran.
Malah rumah nenek yang terletak di pinggir pekan pula di kelilingi pelbagai masyarakat. Selain Melayu, jiran-jirannya terdiri daripada keluarga berbangsa Cina, India dan Siam.
Teringat, setiap kali pergi bermalam di rumah nenek, dia akan sibuk ke kedai runcit berhampiran membeli keperluan dapur antara lain Horlicks, ikan kering, biskut biji asam dan semestinya ‘coklat duit’ serta coklat mini van houten (pembalut pelbagai warna).


Semua itu hanya tinggal kenangan, emak dan ayah sudah tiada lagi dan ada ramai sahabat mereka juga sudah meninggal dunia. Selainnya juga putus hubungan tanpa sedar. Waktu bersama-sama sahabat emak dan ayah kini tinggal kenangan. 
Saya juga punya sahabat yang berbilang bangsa. Di sekolah rendah, antara beberapa orang sahabat yang paling rapat adalah Ah Rin, berketurunan Siam.
Ketika di sekolah menengah, sahabat karib saya, Selena, berbangsa Cina. Jadi keraplah saya bermalam di rumah Selena. Kampungnya berjiran dengan kampung Melayu dan Selena dipanggil dengan nama Fatimah, oleh kawan-kawan Melayu di kampung sebelah. Malah abang-abangnya juga memanggilnya Fatimah.
Merujuk atau memanggil seseorang sebagai budak Melayu, India, Cina atau Siam bukanlah sesuatu yang janggal. Bukan juga satu kesalahan. Ia sesuatu yang dianggap biasa, masing-masing bangga dengan bangsa sendiri.
Masuk alam pekerjaan, sama juga. Rakan-rakan terdiri daripada berbilang kaum. Sehinggalah berpuluh tahun bekerja, suasananya sama. Tidak ada garis pemisah antara kami sama ada berketurunan Melayu, Cina, India, Serani mahupun etnik lain.
Baik Tahun Baharu Cina, Hari Raya, Deepavali atau Krismas, ada sahaja yang membawa buah tangan, kuih muih dan sebagainya.
Keluarga suami saya juga ‘cacamarba’. Ada yang beragama Islam, Kristian dan Hindu.
Berbual dengan rakan sekerja, kami sering bercerita pelbagai kisah rakan yang berbilang bangsa dan agama sejak zaman persekolahan sehingga dewasa.
Memang sukar membayangkan kehidupan ini tanpa kepelbagaian itu yang sejak sekian lama menjadi penyeri kehidupan ini.
Kini Kepala Batas sudah berbeza. Walaupun masih ada deretan kedai-kedai lama, pembangunan sudah merubah wajah pekan ‘cowboy’ itu. Malah wujud pula bandar baharu Bertam. Kawasan Ladang Bertam yang kini sudah tidak ada lagi getah mahupun kelapa sawit malah dibangunkan dengan kawasan perumahan, pusat bandar serta pelbagai institusi pengajian.  Kini sudah ada Mc Donalds, Mydin, Tesco dan banyak lagi.

Saya tidak kesal melihat pembangunan, walaupun sudah kerap berlaku kesesakan lalu lintas. Cuma merindui masa lampau yang lebih santai…
Oh ya, sehingga kini, saya masih membeli perabut dari kedai Weng Weng. Namun kedai runcit Bak Haw dan kedai peralatan sekolah Seng Huat sudah tidak dapat dikesan.
Apa pun, banglo putih hitam yang menjadi tempat tinggal 'Tuan' estet masih gah di tapaknya.