Thursday, 8 March 2018

BERMULA DENGAN RM20


Jumlah RM20 mungkin kecil bagi sesetengah orang. Tapi dengan masing-masing mengeluarkan RM20, tiga sahabat mula membantu orang lain.

Usaha itu juga yang membawa kepada penubuhan Gooddeeds Malaysia.
Salah seorang pengasasnya Fariza Ahmad Yasifon memberitahu bahawa segalanya bermula ketika beliau masih tinggal di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu.
Tiga sahabat itu menghadiri seminar empat hari yang disertai lebih dua ribu peserta. Sewaktu rehat mereka mendapati makanan yang dijual sangat mahal.
“Satu pek kecil bihun bodoh(kosong) berharga RM7.50, kuih seketul di antara 80sen dan RM1.20. Kami masing-masing mengeluarkan RM20. Dengan RM60, kami beli kuih-muih dari tempat lain dan mengagihkannya kepada para peserta.
“Begitulah hari-hari berikutnya. Memang sumbangan itu terlalu kecil berbanding jumlah peserta tapi itu saja yang kami mampu,” katanya.
Selepas beberapa aktiviti kebajikan, usaha mereka tidak dapat bertahan kerana dana amat terhad, sedangkan banyak kerja-kerja kebajikan perlu dilakukan. Lama-kelamaan rakan-rakannya ‘tawar hati’ dan menarik diri.

BALIK KAMPUNG

Terfikirkan ada baiknya menyambung hasrat menyumbang tenaga dan berbakti di kampung halaman, Fariza yang berkelulusan Sarjana Muda Sains Kemanusiaan, Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) itu nekad pulang ke Alor Setar pada 2015.
Sebaik saja kembali, beliau tidak membuang masa lalu menganjurkan tuisyen untuk pelajar tahun enam yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Bertitik tolak dari situ, Fariza menubuhkan Kelab Gooddeeds Kedah (Gooddeeds) dan giat membantu golongan memerlukan terutamanya membimbing pembelajaran anak-anak asnaf.
“Tuisyen itu untuk budak-budak yang dilabel sebagai GALUS iaitu gagal-lulus, yang selalu dapat E dan F.
“Mereka dari keluarga miskin, ibu bapa nelayan atau pesawah di tanah orang. Ada yang hidup dengan latar belakang sosial tidak sihat,” katanya yang pernah menjadi guru pengganti di sekolah menengah selepas tamat penggajian di UIAM.
Selesai kelas UPSR itu, Fariza memperkenalkan Klass of Hope, khusus untuk kanak-kanak asnaf.
“Kelas itu dihadiri 12 kanak-kanak berusia di antara tujuh hingga 10 tahun, kelas selama tiga jam setiap Jumaat, dan beberapa kali seminggu pada musim cuti sekolah dengan bantuan dua sukarelawan.
“Kelas merangkumi membaca dan menulis khas untuk kanak-kanak yang ketinggalan dalam pembelajaran, dan kelas pengukuhan Bahasa Inggeris,” jelas beliau sambil menambah bahawa kanak-kanak itu turut dilatih bersolat.

IKUT KAEDAH SENDIRI

Bercerita lanjut, Fariza berkata, “Saya bernasib baik kerana mendapat kerjasama guru sekolah itu yang sangat memahami keperluan kanak-kanak ini. Setelah mengenal pasti murid yang sesuai, saya bertemu dengan ibu bapa agar memberi sokongan kepada anak masing-masing.
“Nampaknya kanak-kanak ini memang mahu belajar. Kami mengajar ikut kaedah sendiri agar mereka mudah faham, kami cari sumber sendiri sebagai alat bantu mengajar,” jelas Fariza. 
Mungkin agak sukar mempercayai bahawa kelas-kelas berkenaan adalah percuma, namun itulah hakikatnya.
Malah, bagi memastikan kanak-kanak itu hadir ke kelas, Gooddeeds turut menyediakan perkhidmatan bas sekolah dari sekolah ke premis Gooddeeds di Kompleks Persiaran Sultan Abdul Hamid, kira-kira 15 kilometer dari sekolah berkenaan.
“Kami juga menyediakan makanan untuk kanak-kanak ini kerana sering mendapati kebanyakan mereka kelaparan ketika menghadiri kelas,” kata Fariza.

TIDAK MUSTAHIL

Selain itu, dengan sumbangan orang ramai, Gooddeeds turut membantu menyediakan keperluan sekolah menjelang sesi baharu persekolahan selain keperluan harian keluarga asnaf terutamanya di sekitar Alor Setar.
Mengakui tidak mudah untuk menggerakkan sebuah badan sukarela, Fariza yang pernah bertugas sebagai wartawan menegaskan, ianya tidak mustahil dan yakin selagi ada kemahuan, pasti ada caranya.
Ketika mengunjungi Gooddeeds, saya terlihat seorang kanak-kanak tekun membaca di satu ruang. Mulutnya mengumat-ngamit namun suaranya tidak kedengaran.
“Ini Adam. Adam rajin datang tuisyen,” kata Fariza, memperkenalkan kanak-kanak itu.
Adam bangun lantas untuk bersalaman namun kepalanya semakin merunduk. Adam berusia lapan tahun dan menghadapi masalah pembelajaran.
Kami ke bilik sebelah yang agak riuh dengan suara kanak-kanak sedang membaca. Masing-masing bangun dan bersalaman dengan penulis.

YAKIN GOODDEEDS MAMPU

Fariza sangat bersyukur kerana mendapat sokongan dan bantuan Cikgu Intan Shafinaz Che Hasan, 38, yang mengajar di SRK Alor Setar.
Cikgu Intan bukan saja bertanggungjawab merujuk kanak-kanak untuk Klass of Hope, malah kerap membantu menyumbangkan makanan untuk kanak-kanak itu.
Cikgu Intan memberitahu saya akan keyakinannya terhadap  Gooddeeds dalam membimbing kanak-kanak itu.
“ Gooddeeds bukan sahaja memberi tuisyen percuma malah turut membentuk pekerti kanak-kanak,” kata beliau.
Kebanyakan pelajar berkenaan hanya mengharapkan pembelajaran di sekolah memandangkan ibu bapa mereka sibuk bekerja manakala ada ibu bapa yang tidak berpelajaran.
“Kebanyakan kanak-kanak ini tidak masuk kelas tadika, jadi ketinggalan apabila bersekolah. Mereka juga tidak mampu mennyertai tuisyen berbayar,” jelas beliau.
Sebagai guru yang bertanggungjawab memilih para pelajar untuk Klass of Hope, Intan Shafinaz mengakui terdapat perubahan di kalangan kanak-kanak bimbingan Fariza.
Contohnya, Adam, yang merupakan antara pelajar Program Saringan Literasi dan Numerasi(LINUS) tegar telah menampakkan perubahan, walaupun agak lambat dalam pembacaan dan penulisan, sikapnya semakin terbuka.
Murid-murid yang ditempatkan di Kelas Pemulihan/Linus/ Linus Tegar adalah yang dikenalpasti mempunyai halangan-halangan tertentu dalam pembelajaran.
Cara mendidik tidak sama dengan murid aliran perdana kerana mereka memerlukan khidmat pakar guru-guru pendidikan khas/pemulihan.

MALU MINTA BANTUAN

Bapa kepada Adam, Abdul Rahman, 36, berkata pendidikan anak-anak sentiasa menjadi keutamaannya demi masa depan anak-anak.
Mengakui tidak berpendidikan tinggi, Abdul Rahman menegaskan akan cuba sedaya upaya memastikan pendidikan anak-anak tidak diabaikan.
Ditanya mengenai Adam, beliau memberitahu bahawa ketika di rumah, anaknya itu seperti juga kanak-kanak lain yang ceria, malah selalu berusaha menyiapkan tugasan sekolah.  
“Saya belajar setakat Tingkatan 1, tak pandai nak ajar anak-anak. Nasib baik ada ‘teacher’ Fariza. Anak-anak saya memang suka pergi tuisyen di situ.
“Kalau nak hantar ke tuisyen berbayar memang saya tak mampu,” tambah bapa kepada dua anak itu.
Bagi memastikan mempunyai masa untuk menghantar dan menjemput anak ke sekolah dan tuisyen, Abddul Rahman melakukan kerja-kerja yang membolehkannya berbuat demikian.
Walaupun tidak boleh melakukan kerja-kerja berat akibat kecederaan tulang belakang beberapa tahun lalu, Abdul Rahman tidak pernah meminta sebarang bantuan kerana katanya, “Segan (malu) nak minta bantuan, saya masih ada tenaga dan boleh kerja. Cukuplah makan seadanya, paling penting pelajaran anak-anak.”

MASIH BOLEH BERTAHAN

Sementara itu, Fariza berhasrat menyebarluaskan tuisyen percuma kepada lebih ramai kanak-kanak asnaf, namun berdepan masalah tenaga pengajar sukarela.
Gooddeeds juga menganjurkan Bengkel Kemahiran Belajar untuk anak-anak asnaf yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.
Bengkel itu percuma tetapi tertakluk pada syarat-syarat iaitu hanya pelajar sentiasa mendapat gred C,D,E,F. Ibu bapa perlu menghubungi Gooddeeds. 
Demi menjamin kesinambungan aktivitinya, Gooddeeds tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai, sebaliknya turut menawarkan tuisyen dengan bayaran minimum.
“Kami menubuhkan GDees17 Learning Centre dan menyediakan kelas-kelas Bahasa Inggeris, Seni dan Kraf, Adik Ngaji (Iqra dan Jawi), homework tutoring, dan kelas belajar membaca secara berbayar.
“Gooddeeds masih bertatih tapi kami ingin terus membantu yang memerlukan,” kata Fariza sambil menambah bahawa kedudukan kewangan kelab itu buat masa ini masih boleh bertahan untuk kumpulan kecil pelajar Klass of Hope itu.  
Sementara itu, Fariza berhasrat menyebarluaskan tuisyen percuma kepada lebih ramai kanak-kanak asnaf, namun berdepan masalah tenaga pengajar sukarela.
Gooddeeds juga menganjurkan Bengkel Kemahiran Belajar untuk anak-anak asnaf yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.
Bengkel itu percuma tetapi tertakluk pada syarat-syarat iaitu hanya pelajar sentiasa mendapat gred C,D,E,F. Ibu bapa perlu menghubungi Gooddeeds. 
Demi menjamin kesinambungan aktivitinya, Gooddeeds tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai, sebaliknya turut menawarkan tuisyen dengan bayaran minimum.
“Kami menubuhkan GDees17 Learning Centre dan menyediakan kelas-kelas Bahasa Inggeris, Seni dan Kraf, Adik Ngaji (Iqra dan Jawi), homework tutoring, dan kelas belajar membaca secara berbayar.
“Gooddeeds masih bertatih tapi kami ingin terus membantu yang memerlukan,” kata Fariza sambil menambah bahawa kedudukan kewangan kelab itu buat masa ini masih boleh bertahan untuk kumpulan kecil pelajar Klass of Hope itu.