Wednesday, 20 December 2017

PESONA SI PEMANGGIL KELIP-KELIP



“Wow… Waaah… Waaah… Wow…”, kedengaran suara pelancong yang masing-masing bukan sahaja kagum melihat kerlipan kelip-kelip malah teruja apabila kawanan serangga itu terbang ke arah mereka.

Ada yang hinggap di kepala, tangan dan pakaian, malah di bot yang mereka naiki menelusuri Sungai Cherating pada malam itu.
Hafiz terus mengemudi bot kemudian berhenti seketika. Setiap kali dia berbuat demikian, perkara serupa berlaku. Cahaya kelip-kelip di rimbunan pepohon di tebing sungai jadi semakin terang, lantas kawanan serangga itu terbang ke arah bot, melewati dan menghinggapi para pelancong untuk seketika.
Tidak terdengar sebarang ungkapan kecuali suara-suara kekaguman, walaupun hakikatnya terdapat 50 pelancong dalam lima buah bot di situ.
Dalam keadaan terpesona melihat kelip-kelip berterbangan ke arah kami, penulis mencuri pandang tindak-tanduk Hafiz yang berdiri di bahagian belakang bot. Dia membuat beberapa pergerakan tangan sambil memegang lampu kecil samar jingga kemerahan.

Saya terfikir, begitulah caranya Hafiz ‘memanggil’ kelip-kelip.
Satu jam berlalu pantas, sekembali ke jeti setiap pelancong kegembiraan dengan leretan pujian mengenai pengalaman menakjubkan itu.
Siapakah Hafiz? Dikenali sebagai ‘firefly whisperer’, Mohd Hafiz Abdul Majid, 47, arif tentang selok-belok industri pelancongan di Cherating, terutamanya Sungai Cherating. Dia bijak melayan pelancong dan paling istimewa, mampu ‘berkomunikasi’ dengan kelip-kelip.
Tidak hairanlah jika pemilik Hafiz’s Cherating Activities itu menjadi buah mulut dalam industri pelancongan Pahang. Malah, kebolehannya tercatat dalam buku panduan pelancongan terkemuka dunia, Lonely Planet.
Dikenali dengan panggilan Hafiz, dia yang aktif dalam aktiviti pelancongan negeri itu sejak kira-kira 11 tahun lalu memberitahu penulis bahawa kaedah memanggil kelip-kelip diperolehinya secara tidak sengaja ketika membelek lampu suluh yang malap sewaktu bersendirian di sungai, sembilan tahun lalu.

“Tiba-tiba kelip-kelip terbang dekat saya. Saya terfikir, tentu lampu malap tarik perhatian mereka. Kemudian saya belajar mengenai kelajuan dan frekuensi cahaya, jarak lampu dari bot ke tebing sungai dan sebagainya.
“Saya ubah suai lampu suluh, buat perkiraan dan uji beberapa kali sebelum dapat hasil macam sekarang. Saya guna empat cahaya berbeza,” jelasnya sambil menambah bahawa sejak menggunakan kaedah itu, aktivitinya mendapat sambutan ramai pelancong.
Tapi pada satu malam, pelancong bertanya mengenai makanan dan habitat kelip-kelip. Malu kerana gagal menjawab soalan itu, keesokan harinya Hafiz mencari maklumat mengenai kelip-kelip daripada internet.
Aktiviti Hafiz menarik minat beberapa pakar kelip-kelip dan alam semulajadi untuk menjalankan kajian dan pemuliharaan. Hasil kajian dikongsi dengan dia untuk digunakan ketika aktiviti-aktiviti pelancongannya.
“Saya bernasib baik, pakar-pakar mahu membantu. Barulah saya sedar bahawa maklumat internet yang dikumpul sebenarnya salah. Kelip-kelip ‘saya’ jenis lain.
“Mereka banyak mengajar saya tentang kelip-kelip dan alam semulajadi. Sejak itu saya perkenalkan aktiviti-aktiviti yang menekankan pendidikan ekopelancongan,” jelasnya.
 Bercerita lanjut, Hafiz mengakui dahulunya aktiviti melihat kelip-kelip ibarat satu pertunjukan.

 “Dulu saya bawa pelancong naik bot, kemudian suluh pokok, goncang dahan sampai kelip-kelip terbang tidak tentu arah. Nampaklah banyak kelip-kelip. Lepas sejam, kami balik ke jeti,” jelasnya lalu menyambung bahawa kini aktviti dimulakan dengan sesi taklimat mengenai kelip-kelip, kawasan paya bakau dan Sungai Cherating.
Sebelum menaiki bot, Hafiz mengingatkan pelancong agar tidak menggunakan lampu suluh, kamera atau telefon bimbit ketika melihat kelip-kelip.
“Cahaya biasa tidak sesuai untuk kelip-kelip. Memang mustahil untuk ambil gambar. Jadi, semua orang hanya perlu relaks dan ‘enjoy’ nanti.
“Jika kelip-kelip hinggap, biarkan sahaja. Jangan dipicit, jangan dipukul,” pesannya ketika sesi taklimat sebelum aktiviti bermula pada pukul 7.30 malam.
Antara maklumat yang dikongsi Hafiz adalah kelip-kelip di Cherating dari spesies Pteroptyx Bearni iaitu jenis ‘non-synchronised’, maksudnya kerlipan tidak selaras, masing-masing berkelip sendiri tanpa dipengaruhi kelip-kelip lain.

Terdapat lebih 2,000 spesies kelip-kelip di seluruh dunia dan kebanyakannya di negara-negara tropika, termasuk lapan spesies di negara ini.
“Cahaya kelip-kelip jantan lebih cerah daripada betina. Corak kerlipan berbeza berdasarkan tujuan, sama ada untuk mengawan, memberi amaran dan sebagainya. Mereka juga macam manusia, saling berkomunikasi,” jelasnya.
Hafiz pernah mencuba teknik sama untuk memanggil kelip-kelip di beberapa tempat lain, namun tidak berkesan kerana spesies berbeza mempunyai ‘bahasa’ tersendiri.
“Kelip-kelip hidup kira-kira empat minggu, yang jantan akan mati beberapa ketika selepas mengawan, manakala betina pula mati selepas bertelur. Kalau tak dapat pasangan, boleh hidup lama sikit,” katanya berseloroh.
Setelah mengawan, kelip-kelip betina akan bertelur di tanah. Kitaran hidup kelip-kelip bermula dengan telur, kemudian menetas menjadi larva.
Larva mengambil masa beberapa bulan sebelum menjadi pupa dan kemudiannya menjadi kelip-kelip dewasa. Larva adalah pemangsa yang makan invertebrata lain seperti siput manakala makanan kelip-kelip adalah tumbuh-tumbuhan.
Ketika monsun adalah paling sesuai untuk melihat kelip-kelip, terutamanya waktu puncak di antara pukul 7.30 hingga 8.30 malam di mana boleh dikatakan 100 peratus kelip-kelip keluar untuk mengawan. Dua jam kemudian 40 peratus berkurangan dan begitulah seterusnya.
Permintaan terhadap aktiviti-aktiviti di Sungai Cherating meningkat terutamanya pada hujung minggu, musim cuti sekolah di Malaysia dan singapura, manakala dari bulan Mei hingga Ogos pula ramai pelancong Eropah.
Mengakui ada musim-musim permintaan tinggi, perjalanan bot terpaksa dihadkan kerana kata Hafiz: “Ini bukan soal perniagaan semata-mata. Tapi penting untuk melindungi dan pelihara alam sekitar.
“Aktiviti perlu dikawal. Kalau terlalu banyak aktiviti bot, berlaku pencemaran bunyi dan asap,” katanya yang kini mempunyai 10 buah bot.
Terdahulu pada petang itu, saya menyertai aktiviti menelusuri Sungai Cherating. Antara yang kelihatan termasuk biawak, memerang, bangau, helang, burung pekaka dan ular.
Terdapat beberapa buah bot kaki pancing menunggu joran mengena sama ada ikan yu, pari, kerapu, sembilang, todak, belanak dan beberapa jenis ikan lain di sungai yang sedalam kira-kira lapan meter itu.